Isnin, 21 April 2014

Tujuan Hidup Seorang Freethinker

Sejujurnya, soalan seperti ini tidak lari dari mengusutkan pemikiranku. Mungkin aku tidak mampu memberi jawapan yang terbaik. Lebih-lebih lagi, apabila mindset sudah berubah ke arah freethinker. Satu jawapan untuk sesuatu persoalan seperti ini sudah tidak mudah dijawab semudah abc. 

Kalau dulu ketika diriku masih beragama, mindaku ringan untuk menetapkan matlamat hidup di dunia ini. Aku selesa untuk menurut saja standard kehidupan majoriti masyarakat, di mana mereka hanya perlu menghabiskan sisa hidup dengan melahirkan generasi seterusnya agar hidup mereka tidak kosong. Paling menarik lagi, seseorang hanya perlu menjadi orang yang baik agar dapat hidup di syurga selama-lamanya. Aku agak kanak-kanak yang sudah dibrainwash dengan kisah dongeng syurga lebih fasih menjawab soalan mudah dan ringkas seperti ini. 

Dulu, ketika aku masih kecil, aku tidak mengenal apa erti kesunyian. Hidupku dikelilingi rakan-rakan sepermainan yang tidak menghakimi rakan-rakan yang lain dengan sewenang-wenangnya. Tidak pernah ku dihurung kemurungan dan keperitan walau sesaat. Hanya mungkin kesedihan atas perkara remeh temeh. Tidak ku duga kehidupan mereka yang dewasa bukanlah semudah yang pernah ku anggap ketika aku masih kecil. Lebih-lebih lagi apabila berubah pendirian kepada sesuatu yang 'against the world'. Yes, being a freethinker is me against the world. It's ride or die. Aku sendiri tak mampu menduga apa yang bakal menimpa atas keterbukaanku ini. Mungkin lopak-lopak jalanan yang telah ku lalui akan ku lalui sekali lagi. 

Indahnya hidup apabila manusia tidak perlu risau tentang masa depan mereka untuk jangka masa yang panjang. Aku hanya perlu fikirkan sesuatu untuk jangka masa yang pendek. Seperti menurut sahaja apa yang telah dijadualkan oleh mereka yang lebih dewasa. Itulah natijahnya agama yang jumud dan ortodoks. Ianya tak ubah seperti singkatnya pemikiran kanak-kanak tentang pemikiran masa depan jika dibandingkan dengan mereka yang sudah dewasa. Kanak-kanak hanya patuh dan tunduk kepada orang tua mereka. Jika dimarah untuk tidak berbuat sesuatu, maka patuhlah ia. Hendak masuk exam pun, soalan senang-senang sahaja. Kebanyakan jawaabc. Tak perlu pening-pening jawab soalan yang kompleks dan memeningkan seperti mereka yang berada peringkat pengajian tinggi.

Bagi aku, soal mengapa hidup itu akan sentiasa dinamik jawapannya. Kalau untuk orang beragama, jawapan tipikal mereka selalu membosankanku. Aku pasti aku hidup bukan untuk merasa bosan. Kerana itu, aku berpaling tadah apabila tiada lagi nilai-nilai ilmiah dalam agama yang mencabar rationaliti manusia. Untuk mencari tujuan hidup, aku lebih suka bergantung kepada situasi perjalanan hidup semasa yang aku lalui. "Just go with the flow". Aku hidup mengikut rentak frekuensi lakaran kehidupan. Aku tidak berani membuat harapan yang tinggi untuk jangka masa yang panjang. Takut tergigit jari apabila harapan menjadi palsu. Aku hidup untuk hari ini dan akan terus mengisi kekosongan itu dengan apa-apa jua cara bermanfaat untuk memenuhinya. Sebagai seorang freethinker, saya terima seadanya nilai sekular di sekeliling kita sudah cukup mengimbangi keperluan seseorang manusia. Agama itu perlu atau tidak? Well, aku hanya mengharapkan mereka biarkan aku bebas dengan pendirianku sepertimana aku tidak pernah menghalang mereka berdiri dengan pendirian mereka.

Terbang Bebas Ke Awan (Part 3)

Satu memori yang masih lagi terpahat di ingatan sehingga ke hari ini adalah ketika diterima untuk menjejakkan kaki ke sekolah berasrama. Aku yang baru saja menginjak masuk ke usia 13 tahun ketika itu, tentu sekali berasa teruja untuk bebas dari kekangan keluarga buat kali pertama. Bukanlah dengan cara menyalahgunakan kebebasan yang ada. Apa yang ku niatkan ketika itu hanyalah ingin merasa hidup berdikari secara beransur-ansur.

Disebabkan sifat pendiam dan hanya menurut saja ketika masih tinggal bersama keluarga, aku tidak banyak melanggar perintah agama yang ditetapkan. Cuma terdapat satu hal yang amat aku tak setujui, iaitu mendengar radio yang dianggap sebagai suatu kesalahan walhal aku amat menghargai seni muzik ketika itu. Hal ini kerana islam menegahnya sebagai perbuatan yang menimbulkan kemarahan tuhan lalu si pendengar-pendengar muzik haram itu dihukum dengan seksaan cecair timah panas yang dituang ke dalam telinga. Sukar sekali aku menerima hakikat betapa menghayati keindahan seni juga merupakan satu kesalahan yang menimbulkan kemurkaan tuhan. Hal ini saja tidak terus membuatku berpaling tadah kepada agama. Aku juga seperti insan-insan beragama ketika itu, hanyut dalam masalah 'Cognitive Dissonance' untuk seketika dan 'Intellectual Dishonesty' kerana lebih takutkan ancaman neraka yang maha dasyat.

Aku sebagai satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga amat dijaga sekali dosa pahalanya memandangkan dalam islam sendiri beranggapan wanita sebagai golongan yang mampu menarik lelaki ke dalam neraka. Hal ini sebenarnya sudah lama menjadi persoalan yang terkubur di benakku. Aku secara senyap-senyap seringkali bermonolog, "Kenapa pula wanita yang menjadi penyebab kenerakaan seseorang lelaki itu? Kenapa sesuatu yang buruk sering disandarkan kepada wanita?".

Malahan pembahagian harta yang tidak samarata kepada wanita kononnya lelaki itu perlu menanggung keluarganya adalah suatu logik yang basi bagiku. Zaman kian berubah di mana pergantungan untuk menampung kehidupan bukanlah tertakluk kepada pewarisan harta semata-mata. Faktor-faktor lain juga perlu dipertimbangkan. Yang lebih sadis lagi apabila golongan islamis cenderung menggunakan hujah 9 akal 1 nafsu untuk lelaki, dan 1 akal 9 nafsu untuk perempuan. Dangkal sekali daya analisis psikologi manusia zaman padang pasir.

Bagiku, kemampuan berakal dan bernafsu individu itu datang dengan nilai yang berbeza-beza. Tak perlu disandarkan kejumudannya mengikut kategori jantina. Tak kuasa untuk aku mengakui seorang jejaka itu mempunyai 9 akal 1 nafsu andai nafsu berpoligaminya itu tak dapat dikawal lalu mempamerkan kebodohannya kepada masyarakat sekeliling yang masih memandang serong amalan berpoligami. Lelaki atau perempuan, ada yang bodoh, ada yang pandai. Ada yang bijak kawal nafsu, dan ada juga yang sebaliknya. Apa yang ku lihat dalam agama seringkali berpihak kepada lelaki dan tidak dinafikan kelaziman peranannya dalam menindas hak-hak wanita di negara-negara mundur dengan dominasi pemerintah agama yang kuat.

Persoalan-persoalan seperti ini agak kerap singgah di benak remajaku. Cuma tatkala ia timbul, sering saja ia tertinggal tanpa jawapan lalu terkubur dek aku yang mementingkan agama sepertimana orang-orang beragama yang lain. Tambahan, tiada siapa yang di luar langkau mentaliti agama yang mampuku suarakan persoalan-persoalan seperti ini. Aku juga sering menutup sendiri persoalan-persoalan seperti ini dengan minatku yang mendalam berkaitan ilmu agama, terutama dalam penerapan nilai-nilai akhlak dan rohaniah yang baik. 

Setiap maghrib, aku akan ke masjid bersama rakan-rakanku yang lain, di mana kehadiran ke masjid ketika itu adalah wajib. Aku masih ingat lagi sebuah kisah yang menyeramkan seringkali diceritakan oleh senior-seniorku, di mana hantu orang minyak yang pernah berkeliaran di sekitar sekolah dan asrama, mempunyai kebolehan menjelma dengan pelbagai rupa seperti kepala manusia di atas lantai, anjing hitam, dan sebagainya. Kononnya roh makhluk itu tidak tenteram dek penangan ilmu hitam yang diamalkan. Kisah-kisah seperti itu sebenarnya hanya membuatkanku lebih skeptik hari demi hari kerana sensasi cerita yang kedengaran seperti hangat-hangat tahi ayam gosip artis-artis melayu. Aku mendapati semakin lama aku skeptik dengan kisah-kisah mistik, semakin berani untuk aku berjalan atau bersendirian belajar di dalam kelas ketika malam. Seringkali rakan-rakanku menganggap aku seorang yang berani. Ada juga yang menganggapku gila. 

Mungkin rentetan dari itu juga, lahirlah mentaliti pemikiran 'tidak kisah apa orang nak kata' sepertimana diriku pada hari ini. Bukanlah aku tidak percayakan kewujudan hantu ketika itu. Aku hanya beranggapan, apa yang nak ditakutkan kalau ada hantu? Aku tidak melakukan apa-apa kesalahan yang menyebabkan hantu itu memburuku, lalu mengapa perlu takut untuk 'diganggu' sahaja oleh sesuatu yang seringkali muncul secara samar-samar, malah hanya mungkin imaginasi minda yang terlalu obses dengan cerita-cerita mistik? Tak perlulah selubungi misteri kehidupan dengan sesuatu yang tak pasti, hal-hal seperti ini juga sudah mula diketahui fenomena dan mekanismanya dengan pengkajian ilmu yang lebih tinggi. Cukuplah kita manusia merungkai misteri-misteri itu dengan akal yang sihat dengan sepenuh kemampuan rasionaliti yang ada tanpa berpaling kepada cerita karut nenek moyang masa lampau yang dikuasai kejahilan mengenai realiti dunia. 

Sabtu, 15 Mac 2014

Free will vs Determinism (Kehendak bebas lwn Ketentuan tetap)

Jika anda seorang theis, bagaimanakah untuk merasionalkan bahawa manusia memiliki sebahagian freewill, namun manusia masih menjadi sebahagian daripada perancangan tuhan (determinism)?

Jika anda seorang atheis pula, bagaimana untuk merasionalkan kenyataan mengenai kebebasan manusia untuk berfikir dan memilih sesuatu tindakan, pada masa yang sama prinsip determinism merupakan kunci utama dalam hukum fizikal alam semesta?

Manusia terhasil dari interaksi antara partikel-partikel, di mana apabila kita mampu mengenalpasti secara spesifik semua partikel-partikel ini dan daya tindakan yang terlibat dalam sesuatu interaksi, kita mampu untuk meramal apakah hasil dari interaksi tersebut. Sepertimana kita mampu meramalkan posisi terakhir sebiji bola apabila dilontarkan pada kadar kelajuan dan sudut tertentu. Hal ini menyokong prinsip determinism.

Teori ketakpastian (uncertainty) quantum dan kerawakan yang berlaku sepanjang masa di peringkat atom merupakan sesuatu yang menyokong prinsip freewill. Namun demikian, keputusan eksperimen di peringkat quantum merupakan sesuatu yang masih berada dalam sempadan determinism. Lalu prinsip manakah yang menyebelahi teori ini? Adakah freewill ataupun determinism?

Manusia mempunyai kebebasan untuk memilih, namun ini semua tertakluk kepada faktor-faktor dalaman (biologi, psikologi, dll) dan faktor persekitaran (latar belakang, tempat tinggal, sosial, dll). Andai berlaku sesuatu kejadian yang mengubah bahagian otak mahupun suasana persekitaran seseorang, pilihan dan keputusan yang berbeza juga akan terhasil dari perubahan faktor-faktor terdahulu.


Kesimpulannya, 
berdasarkan hakikat di atas, kebebasan manusia untuk memilih sesuatu tindak tanduk juga adalah terkandung dalam dunia yang bersifat 'Deterministic'. Konsep 'Freewill' hanyalah sebuah ilusi ciptaan minda.

Sabtu, 18 Januari 2014

Penjara Dan Istana Minda

Hakikatnya benak pemikiran,
Hanyalah kecil umpama debu,
Bertebaran di alam yang luas terbentang,
Seluas infiniti tak berangka,
Dialuni pelbagai nada dan irama,
Bersatu dalam keindahan simfoni,
Penuh harmoni,
Penuh ilusi.

Ironinya minda apabila terlolos ke lurah perhambaan,
Perhambaan yang bertapa dalam penjara,
Penjara ideologi berkonkritkan besi,
Yang di dalamnya banduan yang sukar melepaskan diri.

Maka runtuhkanlah konkrit penjara itu,
Dengan penuh kekuatan dan keazaman,
Gantikannya dengan keserian istana,
Yang tersergam indah bersama realiti,
Realiti yang tak mungkin tersungkur ke bumi.

Jumaat, 17 Januari 2014

Dalam Keterbatasan Ruang Dan Masa

Konsep ruang dan masa adalah sesuatu yang relatif. Bagaimana untuk mengaitkan/merelatifkan tuhan sebagai satu entiti 'mutlak' kepada dunia 'relatif' kita dengan konsep ruang dan masa? Ianya seolah-olah tidak masuk akal untuk mengaitkan/merelatifkan sesuatu kewujudan di luar konsep itu. 

Jika tuhan yang wujud di luar fabrik ruang dan masa, dia wajib menjadi statik. Sebarang perubahan secara automatik memerlukan campurtangan 'masa'. Akan terdapat situasi sebelum dan selepas keadaan. Sebelum dan selepas adalah syarat 'masa'. Tetapi bagaimana ketiadaan masa di tempat tuhan itu logik untuk menyatakan aktiviti2 tuhan untuk menyelenggara kesejahteraan dunia? (Ingin menyatakan 'tempat tuhan' pun sudah tidak logik kerana ketiadaan 'ruang' dalam dimensi tuhan). 

Masa boleh dilihat sebagai proses berlakunya perubahan. Ini mempunyai implikasi yang serius untuk tuhan. Dia akan sepenuhnya statik dan tidak berupaya untuk mengalami perubahan dan memiliki sebarang sifat andai fabrik masa itu tiada dalam dimensi tuhan. Ia akan menjadi seolah-olah tuhan telah ditekan butang 'pause' padaNya supaya tuhan akan kekal selama-lamanya tidak mengalami apa2 perubahan. Situasi ini mungkin tidak wujud, dan ianya seolah2 menyatakan tuhan itu hanya bercuti secara statik di 'takhtanya' dalam ketidakwujudan.

Khamis, 16 Januari 2014

Monolog Sebuah Kepahitan

Neraka.

Kau jadikannya seolah-olah sebuah pilihan yang mudah,
Pabila setiap detik digunakan untuk melempiaskan nafsu di kayangan,
Dilimpahi nikmat khamar dan bidadari menggiurkan,
Sambil melihat manusia di telan azab api yang mencengkam,
Bagaimana kau tergamak sekali untuk tidak mahu melakukan apa-apa,
Lantas membiarkan saja mereka yang dizalimi itu diseksa?

Itu sahaja sudah menjadi neraka buatku,
Tatkala mengetahui adanya insan-insan yang mengharungi perit tak tertahan.

Andai aku berjaya masuk ke syurga,
Aku rela hidup dengan perjuangan menentang tuhan,
Agar mereka yang dizalimi di neraka itu dapat dibela,
Kerana nilai kemanusiaan itulah syurga yang hakiki.



Keanehan Dalam Ketaksempurnaan

Hidup ini tak sempurna. 

Itulah realiti sebuah ketaksempurnaan,
Realiti yang berilusikan fabrik ruang dan masa,
Ruang yang kosong diisikan dengan kekosongan yang lain,
Masa yang tak pernah letih bergerak maju ke hadapan,
Umpama menongkah arus sungai yang mengalir,
Takkan mampu menoleh ke belakang lagi.

Maka lahirlah pilihan dalam keanehan itu,
Pilihan antara suka dan duka,
cinta dan benci,
tawa dan tangis,
bahagia dan derita,
kebenaran dan kebatilan,
Hadir silih berganti,
Memenuhi segenap ruang-ruang kosong,
Menyulam erti keanehan dalam ketaksempurnaan.