Sabtu, 18 Januari 2014

Penjara Dan Istana Minda

Hakikatnya benak pemikiran,
Hanyalah kecil umpama debu,
Bertebaran di alam yang luas terbentang,
Seluas infiniti tak berangka,
Dialuni pelbagai nada dan irama,
Bersatu dalam keindahan simfoni,
Penuh harmoni,
Penuh ilusi.

Ironinya minda apabila terlolos ke lurah perhambaan,
Perhambaan yang bertapa dalam penjara,
Penjara ideologi berkonkritkan besi,
Yang di dalamnya banduan yang sukar melepaskan diri.

Maka runtuhkanlah konkrit penjara itu,
Dengan penuh kekuatan dan keazaman,
Gantikannya dengan keserian istana,
Yang tersergam indah bersama realiti,
Realiti yang tak mungkin tersungkur ke bumi.

Jumaat, 17 Januari 2014

Dalam Keterbatasan Ruang Dan Masa

Konsep ruang dan masa adalah sesuatu yang relatif. Bagaimana untuk mengaitkan/merelatifkan tuhan sebagai satu entiti 'mutlak' kepada dunia 'relatif' kita dengan konsep ruang dan masa? Ianya seolah-olah tidak masuk akal untuk mengaitkan/merelatifkan sesuatu kewujudan di luar konsep itu. 

Jika tuhan yang wujud di luar fabrik ruang dan masa, dia wajib menjadi statik. Sebarang perubahan secara automatik memerlukan campurtangan 'masa'. Akan terdapat situasi sebelum dan selepas keadaan. Sebelum dan selepas adalah syarat 'masa'. Tetapi bagaimana ketiadaan masa di tempat tuhan itu logik untuk menyatakan aktiviti2 tuhan untuk menyelenggara kesejahteraan dunia? (Ingin menyatakan 'tempat tuhan' pun sudah tidak logik kerana ketiadaan 'ruang' dalam dimensi tuhan). 

Masa boleh dilihat sebagai proses berlakunya perubahan. Ini mempunyai implikasi yang serius untuk tuhan. Dia akan sepenuhnya statik dan tidak berupaya untuk mengalami perubahan dan memiliki sebarang sifat andai fabrik masa itu tiada dalam dimensi tuhan. Ia akan menjadi seolah-olah tuhan telah ditekan butang 'pause' padaNya supaya tuhan akan kekal selama-lamanya tidak mengalami apa2 perubahan. Situasi ini mungkin tidak wujud, dan ianya seolah2 menyatakan tuhan itu hanya bercuti secara statik di 'takhtanya' dalam ketidakwujudan.

Khamis, 16 Januari 2014

Monolog Sebuah Kepahitan

Neraka.

Kau jadikannya seolah-olah sebuah pilihan yang mudah,
Pabila setiap detik digunakan untuk melempiaskan nafsu di kayangan,
Dilimpahi nikmat khamar dan bidadari menggiurkan,
Sambil melihat manusia di telan azab api yang mencengkam,
Bagaimana kau tergamak sekali untuk tidak mahu melakukan apa-apa,
Lantas membiarkan saja mereka yang dizalimi itu diseksa?

Itu sahaja sudah menjadi neraka buatku,
Tatkala mengetahui adanya insan-insan yang mengharungi perit tak tertahan.

Andai aku berjaya masuk ke syurga,
Aku rela hidup dengan perjuangan menentang tuhan,
Agar mereka yang dizalimi di neraka itu dapat dibela,
Kerana nilai kemanusiaan itulah syurga yang hakiki.



Keanehan Dalam Ketaksempurnaan

Hidup ini tak sempurna. 

Itulah realiti sebuah ketaksempurnaan,
Realiti yang berilusikan fabrik ruang dan masa,
Ruang yang kosong diisikan dengan kekosongan yang lain,
Masa yang tak pernah letih bergerak maju ke hadapan,
Umpama menongkah arus sungai yang mengalir,
Takkan mampu menoleh ke belakang lagi.

Maka lahirlah pilihan dalam keanehan itu,
Pilihan antara suka dan duka,
cinta dan benci,
tawa dan tangis,
bahagia dan derita,
kebenaran dan kebatilan,
Hadir silih berganti,
Memenuhi segenap ruang-ruang kosong,
Menyulam erti keanehan dalam ketaksempurnaan.