Satu memori yang masih lagi terpahat di ingatan sehingga ke hari ini adalah ketika diterima untuk menjejakkan kaki ke sekolah berasrama. Aku yang baru saja menginjak masuk ke usia 13 tahun ketika itu, tentu sekali berasa teruja untuk bebas dari kekangan keluarga buat kali pertama. Bukanlah dengan cara menyalahgunakan kebebasan yang ada. Apa yang ku niatkan ketika itu hanyalah ingin merasa hidup berdikari secara beransur-ansur.
Disebabkan sifat pendiam dan hanya menurut saja ketika masih tinggal bersama keluarga, aku tidak banyak melanggar perintah agama yang ditetapkan. Cuma terdapat satu hal yang amat aku tak setujui, iaitu mendengar radio yang dianggap sebagai suatu kesalahan walhal aku amat menghargai seni muzik ketika itu. Hal ini kerana islam menegahnya sebagai perbuatan yang menimbulkan kemarahan tuhan lalu si pendengar-pendengar muzik haram itu dihukum dengan seksaan cecair timah panas yang dituang ke dalam telinga. Sukar sekali aku menerima hakikat betapa menghayati keindahan seni juga merupakan satu kesalahan yang menimbulkan kemurkaan tuhan. Hal ini saja tidak terus membuatku berpaling tadah kepada agama. Aku juga seperti insan-insan beragama ketika itu, hanyut dalam masalah 'Cognitive Dissonance' untuk seketika dan 'Intellectual Dishonesty' kerana lebih takutkan ancaman neraka yang maha dasyat.
Aku sebagai satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga amat dijaga sekali dosa pahalanya memandangkan dalam islam sendiri beranggapan wanita sebagai golongan yang mampu menarik lelaki ke dalam neraka. Hal ini sebenarnya sudah lama menjadi persoalan yang terkubur di benakku. Aku secara senyap-senyap seringkali bermonolog, "Kenapa pula wanita yang menjadi penyebab kenerakaan seseorang lelaki itu? Kenapa sesuatu yang buruk sering disandarkan kepada wanita?".
Malahan pembahagian harta yang tidak samarata kepada wanita kononnya lelaki itu perlu menanggung keluarganya adalah suatu logik yang basi bagiku. Zaman kian berubah di mana pergantungan untuk menampung kehidupan bukanlah tertakluk kepada pewarisan harta semata-mata. Faktor-faktor lain juga perlu dipertimbangkan. Yang lebih sadis lagi apabila golongan islamis cenderung menggunakan hujah 9 akal 1 nafsu untuk lelaki, dan 1 akal 9 nafsu untuk perempuan. Dangkal sekali daya analisis psikologi manusia zaman padang pasir.
Bagiku, kemampuan berakal dan bernafsu individu itu datang dengan nilai yang berbeza-beza. Tak perlu disandarkan kejumudannya mengikut kategori jantina. Tak kuasa untuk aku mengakui seorang jejaka itu mempunyai 9 akal 1 nafsu andai nafsu berpoligaminya itu tak dapat dikawal lalu mempamerkan kebodohannya kepada masyarakat sekeliling yang masih memandang serong amalan berpoligami. Lelaki atau perempuan, ada yang bodoh, ada yang pandai. Ada yang bijak kawal nafsu, dan ada juga yang sebaliknya. Apa yang ku lihat dalam agama seringkali berpihak kepada lelaki dan tidak dinafikan kelaziman peranannya dalam menindas hak-hak wanita di negara-negara mundur dengan dominasi pemerintah agama yang kuat.
Persoalan-persoalan seperti ini agak kerap singgah di benak remajaku. Cuma tatkala ia timbul, sering saja ia tertinggal tanpa jawapan lalu terkubur dek aku yang mementingkan agama sepertimana orang-orang beragama yang lain. Tambahan, tiada siapa yang di luar langkau mentaliti agama yang mampuku suarakan persoalan-persoalan seperti ini. Aku juga sering menutup sendiri persoalan-persoalan seperti ini dengan minatku yang mendalam berkaitan ilmu agama, terutama dalam penerapan nilai-nilai akhlak dan rohaniah yang baik.
Setiap maghrib, aku akan ke masjid bersama rakan-rakanku yang lain, di mana kehadiran ke masjid ketika itu adalah wajib. Aku masih ingat lagi sebuah kisah yang menyeramkan seringkali diceritakan oleh senior-seniorku, di mana hantu orang minyak yang pernah berkeliaran di sekitar sekolah dan asrama, mempunyai kebolehan menjelma dengan pelbagai rupa seperti kepala manusia di atas lantai, anjing hitam, dan sebagainya. Kononnya roh makhluk itu tidak tenteram dek penangan ilmu hitam yang diamalkan. Kisah-kisah seperti itu sebenarnya hanya membuatkanku lebih skeptik hari demi hari kerana sensasi cerita yang kedengaran seperti hangat-hangat tahi ayam gosip artis-artis melayu. Aku mendapati semakin lama aku skeptik dengan kisah-kisah mistik, semakin berani untuk aku berjalan atau bersendirian belajar di dalam kelas ketika malam. Seringkali rakan-rakanku menganggap aku seorang yang berani. Ada juga yang menganggapku gila.
Mungkin rentetan dari itu juga, lahirlah mentaliti pemikiran 'tidak kisah apa orang nak kata' sepertimana diriku pada hari ini. Bukanlah aku tidak percayakan kewujudan hantu ketika itu. Aku hanya beranggapan, apa yang nak ditakutkan kalau ada hantu? Aku tidak melakukan apa-apa kesalahan yang menyebabkan hantu itu memburuku, lalu mengapa perlu takut untuk 'diganggu' sahaja oleh sesuatu yang seringkali muncul secara samar-samar, malah hanya mungkin imaginasi minda yang terlalu obses dengan cerita-cerita mistik? Tak perlulah selubungi misteri kehidupan dengan sesuatu yang tak pasti, hal-hal seperti ini juga sudah mula diketahui fenomena dan mekanismanya dengan pengkajian ilmu yang lebih tinggi. Cukuplah kita manusia merungkai misteri-misteri itu dengan akal yang sihat dengan sepenuh kemampuan rasionaliti yang ada tanpa berpaling kepada cerita karut nenek moyang masa lampau yang dikuasai kejahilan mengenai realiti dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan