Ahad, 29 September 2013

Salah Faham Lazim Terhadap Ateisme

1) Ateisme bertanggungjawab ke atas kejahatan terbesar dalam sejarah manusia .
Tuduhan-tuduhan liar agamawan mengenai kejahatan yang disebabkan oleh ateisme seperti kejahatan Hitler, Stalin, Mao dan lain-lain adalah satu hipotesis konspirasi yang tidak asing lagi. Hakikatnya, mereka yang membuat tuduhan liar membuta tuli ini tidak membuat kajian secara teliti dan mendalam mengenai latar belakang permasalahan yang berkenaan. Masalah dalam fahaman-fahaman ekstrem seperti fasisme dan komunisme adalah disebabkan akar umbinya yang bersifat dogmatik, iaitu menerima sesuatu doktrin berasaskan kepercayaan sahaja sebagai kuasa tertinggi. 

Hal ini amat bertentangan sekali dengan ateisme yang ketiadaan konsep 'percaya' terhadap agama. Sifat dogmatik adalah wajib dalam agama kerana perlunya kepercayaan. Dengan itu, tuduhan-tuduhan liar yang mengaitkan kejahatan di atas dengan ateisme adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya, ideologi-ideologi ekstrem inilah yang amat dekat perkaitannya dengan agama kerana berkongsi persamaan iaitu bersifat dogmatik. Contohnya, pemujaan melampau bersifat peribadi terhadap pemimpin-pemimpin dalam ideologi-ideologi tersebut (fasisme, komunisme, dll) yang sama sahaja konsepnya dengan pemujaan wira-wira agama seperi nabi muhammad dan rasul-rasul dalam agama islam, dll.

2) Ateisme adalah bersifat dogmatik.
Agama-agama samawi menyatakan bahawa kepercayaan adalah wajib terhadap agama tanpa kompromi mahupun sebarang persoalan atau keraguan. Mereka mendakwa kitab-kitab suci diturunkan oleh tuhan yang maha berkuasa dan tiada tolok bandingnya. Manakala golongan ateis pula mendapati dakwaan seperti ini adalah tidak masuk akal. Untuk seseorang itu menjadi dogmatik, sesuatu kepercayaan itu perlu wujud. Bagaimana seseorang ateis itu menjadi seorang dogmatik sedangkan syarat utama (kepercayaan)  itu sendiri tidak wujud dalam diri mereka?

3) Ateis percaya bahawa alam semesta ini  wujud secara kebetulan.
Tuduhan ini adalah auta sama sekali. Secara peribadi, sebagai seorang ateis saya lebih selesa untuk mengatakan 'tidak tahu' dalam persoalan alam semesta kerana misterinya yang masih tidak terjawab secara lengkap. Tiada siapa yang mampu menberikan penjelasan menyeluruh tentang bagaimana alam ini wujud. Tambahan pula, idea "permulaan" atau "penciptaan" alam semesta adalah idea-idea yang masih di luar batas kemampuan manusia untuk menanggapinya dalam minda pemikiran, kerana konsep masa dan ruang yang menjadi faktor utama dalam asal usul kewujudan alam seharusnya tidak diabaikan dalam persoalan ini dengan sewenang-wenangnya sepertimana yang sentiasa kita dengar dalam dakwaan-dakwan para ulamak.

4) Ateis suka berlagak sombong seolah-olah mengetahui segala-galanya.
Apabila seseorang saintis tidak tahu berkenaan sesuatu - samada tidak tahu mengapa alam semesta wujud atau bagaimana molekul pertama itu terbentuk- mereka dengan sikap rendah diri mengakui tidak mempunyai pengetahuan lengkap mengenainya. Berpura-pura untuk mengetahui perkara-perkara yang masih tidak diketahui dan masih dipersoalkan lagi kesahihannya adalah satu tanggungjawab dan liabiliti yang ditekankan di dalam bidang sains. 

Saya tidak menolak sifat ilmiah seperti ini adalah bercambah dengan baik dalam diri ateis-ateis yang saya kenali secara peribadi. Tidak seperti segelintir golongan agama. Ironinya terdapat individu yang penuh hipokrasi kononnya merendahkan diri padahal isi ceramah keagamaan mereka adalah sebaliknya. Mereka mendakwa al quran telah mengetahui segala-gala fakta mengenai kosmologi, fizik, kimia, biologi, dan sebagainya, sedangkan saintis-saintis pakar masih bertungkus lumus menyiapkan 'puzzle' yang masih tidak terisi ruang kosongnya itu. Seharusnya kejujuran intelektual perlu diutamakan di dalam menuntut ilmu, bukannya soal kalah menang perlawanan seolah-olah manusia ini berada di dalam medan perjudian.

5) Ateis percaya bahawa hidup ini tidak bermakna.
Perbezaan antara orang agama dengan yang tidak beragama tentang soal kehidupan adalah berkenaan ketakutan dan kebimbangan. Orang-orang agama hidup dalam ketakutan dengan persoalan menyesakkan minda samada kehidupan adalah bermakna ataupun tidak. Minda mereka sudah dikaburi dengan janji-jani palsu kebahagiaan abadi di syurga sehingga lupa untuk menghargai detik hidup pada masa ini semata-mata sikap kebimbangan itu. Saya secara peribadinya dari kaca mata ateis melihat setiap detik yang berlalu adalah amat berharga dan seharusnya tidak perlu dibazirkan dengan perasaan takut atau bimbang tentang penipuan yang sudah jelas terpampang. Dapat menghirup udara segar dan hidup dalam realiti yang sepenuhnya (bukan fantasi) dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan motivasi kehidupan adalah sudah mencukupi dalam memenuhi makna kehidupan itu sendiri. Perasaan takut dan bimbang yang digembar-gemburkan dalam agama itu sendirilah sebenarnya yang lebih menjadikan kehidupan seseorang itu menjadi tidak bermakna lagi.

6) Ateis mengabaikan hakikat bahawa agama adalah sangat memberi manfaat kepada masyarakat.
Secara peribadi, saya tidak mengabaikan peranan agama dalam membentuk peribadi yang mulia. Akan tetapi, persoalannya, adakah kebaikan yang diajarkan di dalam agama itu secara sendirinya membuktikan bahawa agama itulah yang membawa kebenaran mitos-mitos yang masih boleh dipertikaikan? Agama seolah-olah hanya memberikan panduan kepada orang-orang jahat agar berkelakuan baik, sedangkan sebab-sebab untuk berkelakuan baik itu sudah sedia ada dalam budaya pemikiran manusia tanpa perlukan sebarang sogokan mahupun rasuah. Ianya juga merupakan prinsip yang ditekankan dalam nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengira fahaman. Seseorang itu mampu berkelakuan baik tanpa adanya campur tangan kuasa ghaib yang tidak pernah menonjolkan dirinya. Contohnya, membantu golongan miskin dan kelaparan. Tanya diri sendiri, adakah membantu mereka yang menderita perit hidup itu adalah atas kerelaan anda sendiri? Atau adakah ianya hanyalah kerana ingin mendapatkan ganjaran pahala semata-mata?

7) Ateisme tidak memberikan sebarang asas moraliti.
Ironinya, di dalam kitab al-quran dan bible itu sendiri lah yang menekankan nilai-nilai kezaliman tuhan mahupun manusia yang melampaui batas. Apatah lagi amalan perhambaan yang diceritakan di dalam kedua-dua buku ini. Tamadun manusia yang ada pada hari ini amat mengutuk amalan perhambaan kerana konsepnya yang cuba mewujudkan lagi perbezaan antara manusia. 

Perbezaan moraliti yang beragama dan tidak beragama adalah intuisi moral yang masih mengalir di dalam darah daging sendiri hasil dari kejayaan cemerlang evolusi manusia sebagai organisma yang bersosial dalam masa yang amat panjang. Sepanjang proses tersebut, pemikiran nenek moyang kita secara turun temurun telah ditapis dengan pelbagai cara berfikir hanya untuk tujuan yang sama dalam meneruskan kemandirian species, di samping memastikan kebahagiaan manusia dapat dicapai ke tahap maksimum. 

Moraliti itu sendiri berevolusi mengikut kesesuaian masa yang nilainya sudah tidak bersesuaian dengan konsep agama yang kaku. Kita telah mencapai kemajuan moral jika dibandingkan dengan tamadun barbaric masa lampau, dan kita tidak mendapat kemajuan ini dengan hanya pembacaan al-quran atau bible semata-mata. Kedua-dua buku ini membenarkan sahaja amalan perhambaan itu menular- sedangkan intuisi manusia lah yang berjaya mengharamkan aktiviti ini daripada menjadi kebiasaan masyarakat. Apa yang baik dalam kitab-kitab lama- seperti Golden Rule- boleh dinilai dari kaca mata kebijaksanaan kita sendiri tanpa perlu mempercayai bulat-bulat bahawa ianya adalah datang dari kuasa magik yang diturunkan kepada kita daripada pencipta alam semesta.


Khamis, 26 September 2013

Sebab Ketiadaan Sebab

Antara sebab manusia tidak percaya kepada kewujudan tuhan adalah kerana tiada alasan mahupun sebab yang baik dan kukuh untuk mempercayainya. Oleh kerana manusia beragama adalah mereka yang memulakan dakwaan kewujudan tuhan, secara automatiknya beban adalah di bahu mereka untuk membuktikan dakwaan tersebut adalah benar. 


Mana mungkin seseorang dapat membuktikan perkara yang tiada itu tidak wujud. Bukti itu perlu wujud untuk ianya menjadi 'bukti'. Contohnya, bagaimana seseorang itu membuktikan ketidakwujudan seekor kucing yang boleh terbang, sedangkan kucing hidup seperti itu tidak wujud di dunia yang nyata?
Mereka yang taksub percaya kewujudan kucing seperti itu mungkin menyalahkan manusia lain yang tidak percaya, lantas melabel mereka ini bodoh sombong dan kufur nikmat kewujudan kucing yang berkebolehan untuk terbang. Ini adalah perbuatan yang melampaui batas rasionaliti. Begitulah situasinya dengan manusia yang beragama yang mewarisi dakwaan yang tiada kewarasannya di mata mereka yang tidak percaya.

Di samping itu, percaya itu bersebab, manakala tidak percaya itu pula mungkin tidak bersebab. Samalah halnya seperti ketidakpercayaan umat islam terhadap Santa Claus, Xenu mahupun Zeus. Umat islam tidak mempercayai watak-watak tersebut kerana tiada sebab yang kukuh untuk mempercayainya. Boleh jadi juga keadaan tidak bersebab itu adalah kerana ketiadaan sebab. Manusia mungkin sudah tidak kisah lagi kerana ianya hanya mengusutkan pemikiran sahaja apabila sesuatu yang tidak wujud itu diwujudkan. 

Seseorang juga mungkin sudah jenuh mencari-cari sebabnya kerana akal sudah tidak mampu menanggung beban untuk menipu akal sendiri dalam merelevankan sesuatu yang tidak relevan. Selagi mana dakwaan tersebut tidak dapat dibuktikan, selagi itulah manusia yang tidak percaya berada di posisi yang relevan dan kukuh lagi mantap.

Ahad, 22 September 2013

Ironi Kitaran Ritual Penyembahan


Posisi Kepercayaan dan Ketidakpercayaan: Di Manakah Anda?


Kesilapan Logik (Logical Fallacies)

Kesilapan logik merupakan satu tabiat perlakuan yang cenderung berlaku ketika mengemukakan hujah terutamanya semasa berada di dalam sesuatu perbahasan atau perbincangan ilmiah. Ianya dinyatakan sebagai kesilapan kerana seseorang itu sudah tidak berpegang kepada nilai logik dan akal sebagai sumber dalam membuat keputusan dan kesimpulan hujah mereka. Akibatnya, si penghujah cenderung untuk terbabas dari landasan premis perbincangan/perbahasan ilmiah tersebut. 

Contoh terkenal  kesilapan logik dalam masyarakat kita adalah ad hominem, iaitu serangan peribadi ke atas lawan mereka. Ini adalah satu petanda tidak baik tentang aras pemikiran masyarakat yang seharusnya perlu kita perbaiki. Terdapat juga beberapa contoh-contoh lain kesilapan logik yang seharusnya kita elakkan ketika berhujah/berbincang dalam sesuatu majlis ilmiah. Diharap setiap dari kita dapat memanfaatkan fakta tentang kesilapan logik ini daripada terus merendahkan mentaliti kita dan cuba untuk mengelak daripada melakukannya di masa akan datang. :)




Ahad, 15 September 2013

Dilema Agama: Golden Rule

Golden Rule merupakan satu prinsip moral umum di mana seseorang itu percaya bahawa setiap individu perlulah berusaha melakukan sesuatu kebaikan ke atas orang lain sepertimana kita mahukan diri kita sendiri diperlakukan dengan kebaikan yang sama. Toleransi, pertimbangan, belas kasihan, dan sebagainya merupakan antara nilai-nilai yang terdapat dalam Golden Rule. Ianya melibatkan perasaan dan pengalaman manusia dalam memikirkan kebajikan orang lain dan cuba meletakkan kedudukan dan perasaan mereka dalam diri orang diperlakukan itu.

Mengamalkan Golden Rule bermakna cuba untuk mendalami perasaan orang lain, termasuk mereka yang tiada pertalian darah dan berbeza daripada kita. Empati (naluri memahami perasaan orang lain) merupakan akar kepada kebaikan, kasih sayang, persefahaman dan hormat-menghormati - kualiti yang seharusnya dihargai dan dimiliki setiap insan.


Golden Rule ini tidak mewakili secara mutlak mana-mana kesatuan falsafah ataupun agama, kerana proses kemajuan ketamadunan masyarakat telah banyak bergantung kepada Golden Rule sebagai standard dalam menyelesaikan konflik, lebih-lebih lagi dalam konflik antara berlainan agama yang selalunya menjadi punca pertelingkahan, perpecahan dan peperangan.

Amat lazim sekali apabila sesuatu agama itu sering dikaitkan dengan Golden Rule. Malang sekali terdapat agama dominan dunia yang mempunyai sebahagian prinsip bertentangan dengannya seperti agama rasmi negara ini, iaitu agama Islam. Ajaran-ajaran kebaikan dalam agama ini hanyalah terhad kepada umat Islam sahaja, sehinggakan nilai persaudaraannya dengan golongan bukan islam itu seolah-olah tidak perlu diambil peduli.

1. Dari satu petikan ayat Al-Quran (9:23), Surah At-Taubah, ayat 23, yang menyatakan:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim."

2. Terdapat juga beberapa ayat yang memberitahu umat Islam agar bertindak keras terhadap mereka. Satu contoh yang jelas bahawa Islam itu bertentangan dengan Golden Rule adalah dari petikan ayat Al-Quran (48:29), Surah Al-Fat-h, Ayat 29:

"Nabi Muhammad ialah rasulullah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang-orang kafir, dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)."

Ayat di atas adalah contoh terbaik bagi definisi fasisme yang diasaskan Mussolini, seorang sekutu rapat diktator Jerman iaitu Adolf Hitler. Ideologi fasisme hanya mementingkan golongan-golongan tertentu sahaja melebihi daripada kepentingan golongan individu/masyarakat tertentu, khasnya kelompok minoriti. Maka tidak hairanlah hak-hak golongan minoriti mahupun golongan yang tidak mempunyai pengaruh cukup kuat akan sewenang-wenangnya ditindas.

3. Terdapat banyak ayat-ayat lain yang menunjukkan persaudaraan dalam Islam adalah bersifat tidak universal. Orang yang tidak menganuti agama Islam jelas dinafikan haknya, serta tidak boleh dilayan dengan cara yang sama rata sepertimana mereka yang beriman. Ini adalah sesuatu yang melanggar prinsip dalam Golden Rule. Ayat Al-Quran, Surah At-Taubah, Ayat 123, seperti di bawah menyeru orang-orang beriman agar memerangi orang-orang kafir;

"Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa"


4. Ayat di bawah pula (47:4, Surah Muhammad, Ayat 4) menyeru umat islam agar melakukan keganasan ke atas golongan bukan islam;

"Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya."

Adakah ayat-ayat di atas ini sesuai dengan konsep yang diketengahkan dalam Golden Rule?

Jelas sekali al-quran menyeru umat islam agar melakukan kejahatan, keganasan, dan pembunuhan ke atas orang lain (kafir) hanya kerana disebabkan mereka tidak percaya kepada agama ini.

Menurut Islam, baik buruk sesuatu perkara itu tidak ditentukan kualitinya melalui Golden Rule, sebaliknya ditetapkan melalui petikan kata-kata lisan (sabda) nabi Muhammad. Mereka percaya bahawa apa yang baik untuk Islam adalah kebaikan segala kebaikan dan apa yang tidak baik untuk Islam adalah kejahatan segala kejahatan. Ini adalah definisi yang menjadi penentu aras dalam islam samada sesuatu itu baik atau jahat.

Maka tidak jauhlah bezanya Islam dengan kult-kult moden yang ada pada masa kini. Dalam usaha untuk memajukan kepentingan sesuatu ideologi, sesuatu perbuatan yang amat keji akan dibenarkan menjadi kebaikan, tidak kiralah samada berbohong, membunuh, mahupun berperang. Apa cara sekalipun adalah dibenarkan selagi mana tujuan asal itu dapat dicapai.

Selebriti-selebriti Atheist



Agama Sebagai Faktor Geografi


Jumaat, 13 September 2013

Pendekatan Positif Terhadap Kehidupan Melalui Humanism (Kemanusiaan)

Melakukan perkara baik atas alasan mahu mendapat ganjaran syurga dan tidak mahu ke neraka merupakan alasan yang lazim kita dengar dari manusia beragama. Saya sering tertanya-tanya, adakah alasan mereka ini konkrit atau hanya terikut-ikut tradisi/majoriti masyarakat sahaja? Tidakkah idea dan justifikasi setiap manusia dalam melakukan kebaikan perlu lahir dari pengetahuan dan pengalaman unik setiap individu tanpa pengaruh sesiapa? Bagaimana sekiranya syurga itu tidak wujud? Adakah manusia tetap akan berkelakuan baik tanpa mengharapkan ganjaran atau hukuman selepas mati?

Pendekatan seperti ini telah melahirkan sekelompok manusia yang digelar 'Humanis (Humanist)'. Humanis berpegang kepada konsep Humanism (Kemanusiaan). Sementara ateisme membawa makna ketidakpercayaan terhadap mana-mana entiti/agama, kemanusiaan adalah sikap positif terhadap dunia yang tertumpu kepada pengalaman manusia, pemikiran dan harapan. Kemanusiaan (Humanism) adalah satu pendekatan untuk kehidupan berdasarkan sebab/justifikasi dalam kesaksamaan manusia sejagat, dalam masa yang sama menyedari bahawa nilai-nilai moral yang betul adalah datangnya dari sifat dan pengalaman manusia sendiri. 


Humanis percaya bahawa pengalaman manusia dan pemikiran rasional merupakan sumber-sumber kukuh dalam menjustifikasikan pengetahuan dan kod moral di dalam kehidupan. Humanis menolak idea-idea berkaitan tuhan-tuhan, mahupun buku-buku agama lama. Hal ini disebabkan agama seringkali meletakkan kebajikan dan kebahagiaan manusia terhimpit di tengah-tengah dalam membuat keputusan sesuatu kod etika. Contohnya seperti kebajikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak pengguguran anak bagi ibu yang belum bersedia, dan sebagainya .

Kemanusiaan adalah pendirian hidup berdemokrasi dan beretika, di mana ianya menegaskan bahawa manusia mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memberi makna dan bentuk kepada kehidupan masing-masing. Ini seterusnya memberi impak dalam membina masyarakat yang lebih berperikemanusiaan melalui etika berdasarkan keupayaan manusia berfikir dan menimba ilmu secara ideal sepertimana nilai-nilai manusia itu wujud secara semula jadi.

Kebanyakan humanis mempunyai kesepakatan berkaitan dengan idea-idea di bawah:

1. Makhluk ghaib adalah tidak wujud.
2. Alam semesta yang bersifat material adalah satu-satunya realiti yang wujud.
3. Sains menyediakan satu-satunya sumber yang boleh dipercayai berkenaan pengetahuan mengenai alam semesta ini.
4. Kehidupan ini adalah satu-satunya sahaja yang ada- tidak ada kehidupan selepas mati, mahupun kehidupan melalui penjelmaan semula.
5. Manusia berkemampuan untuk hidup beretika dan menjalani kehidupan bermakna tanpa kepercayaan terhadap agama.
6. Manusia boleh menetapkan kod moral mereka dari pembelajaran sejarah, pengalaman peribadi, dan pemikiran.
7. Manusia mampu menetapkan keputusan sesuatu etika berdasarkan sebab, empati (naluri memahami perasaan insan yang lain), dan nilai keprihatinan terhadap manusia tanpa kebergantungannya kepada sentimen keagamaan.

Setiap manusia haruslah menunjukkan rasa hormat kepada sesama manusia yang lain, tanpa mengira kelas, bangsa ataupun kepercayaan (Perlu diingat wujudnya perbezaan di antara hormat kepada individu dan hormat kepada ideologi). Nilai moraliti dan kemanusiaan sepatutnya memberikan kita kebebasan, keadilan, toleransi dan kebahagiaan, iaitu melalui kebaikan secara ikhlas atas nilai diri sendiri tanpa mengharapkan ganjaran syurga mahupun pahala yang hanyalah ciptaan imaginasi manusia suatu ketika dahulu.


Khamis, 12 September 2013

Terbang Bebas Ke Awan (Bahagian 2)

Selepas menghabiskan pendidikan taska, aku dihantar pula ke sekolah rendah dari darjah satu sehingga darjah enam. Aku menghadiri sekolah kebangsaan biasa pada waktu pagi dan sekolah ugama pada waktu petang. Detik-detik pada ketika ini adalah sesuatu yang amat menyeronokkan kerana aku dapat belajar ilmu duniawi dan keagamaan pada masa yang sama mempunyai rakan-rakan sepermainan yang ramai. Rutin harianku banyak dihabiskan dengan alam persekolahan dan bermain dengan rakan-rakan ketika ada kelapangan.

Pada ketika ini juga, aku sudah berjinak-jinak dengan pelbagai ilmu agama dan bahasa arab atas minatku sendiri tanpa paksaan. Aku masih ingat betapa terujanya aku membaca buku-buku pelajaran bahasa arab sehingga buku adikku yang masih dalam tadika ketika itu pun aku kebas. Tidak lupa juga buku hikayat nabi-nabi dan wali-wali. Aku juga tanpa segan silu pandai berpura-pura solat di depan ibuku sedangkan aku masih tidak menghafal apa-apa bacaan solat, cuma ingin membuatnya bangga sahaja ketika melihatku bersungguh-sungguh mahu mendalami ilmu dan ibadah agama. Keterujaan ku itu juga 'terlebih' sehingga tahap mahu ikut pergi sembahyang jumaat di masjid. Nasib saja ibuku lantas menghalang kemahuanku itu.  

Pernah satu hari kami sekeluarga pergi ke sebuah pulau yang terletak di kawasan bakau untuk menziarahi makam seorang wali yang kononnya dipercayai dapat membuang 'sial' sekiranya mandi di telaga berhampiran makamnya. Yang menariknya, makam wali tersebut terletak di kawasan habitat biawak. Maka terdapat banyak biawak yang merayap-rayap di kawasan itu. Aku mulanya merasa takut, namun selepas diceritakan bahawa biawak-biawak tersebut merupakan 'penjaga' makam wali itu, maka aku kembali menjadi tenang. Agak pelik kerana biawak-biawak tersebut langsung tidak menganggu kami ketika itu. Impak dari penjelajahan tersebut, aku menjadi lebih ingin tahu tentang cerita-cerita keajaiban dan kuasa-kuasa ghaib para wali.

Ibu seringkali menceritakan kepada kami adik-beradik berkaitan kisah-kisah keajaiban nabi pada waktu malam sebelum tidur. Satu kisah 'lucu' nabi yang sukar untukku lupakan ialah berkaitan dengan nabi Nuh. Terdapat satu babak dalam kisah nabi Nuh ketika mana kaumnya membuang najis ke dalam bahteranya kerana mereka bermusuhan dengan nabi Nuh. Satu hari, seorang yang buta terjatuh ke dalam bahtera tersebut lalu terkena najis, akibatnya penyakit butanya itu secara serta merta disembuhkan. Cerita itu kemudiannya tersebar luas di kalangan kaum tersebut sehingga najis di dalam bahtera itu menjadi perhatian. Najis tersebut kononnya mampu mengubati pelbagai jenis penyakit, sehingga akhirnya bersihlah bahtera itu dari sebarang kekotoran. Apa yang paling melucukanku ialah disebabkan ianya terlalu 'laku', ada di kalangan manusia yang sanggup menjilat najis tersebut sehingga tiada sikit pun sisa baki yang tertinggal di atas bahtera itu. Kami adik-beradik hanya mampu tergelak besar selepas itu. 


Walau bagaimanapun, jauh di sudut hati ini meragui kesahihan cerita di atas. Mungkin ibu tersalah baca kerana sebagai seorang kanak-kanak, aku sudah dapat menilainya sebagai sebuah cerita yang tidak logik dan menjijikkan. Lantaran itu, aku cuba mencari kesahihannya dan akhirnya dapat mengetahui bahawa cerita ini adalah sama sepertimana yang diceritakan dalam buku-buku agama. Mungkin atas faktor perkembangan pemikiran yang tidak cukup kritikal lagi, maka keraguan itu hanya tergantung begitu sahaja walaupun hakikatnya aku masih tidak mampu menerima logiknya semasa membesar dalam suasana islamik.

Agak banyak cerita-cerita agama lain yang tidak masuk akal bagiku tetapi aku hanya menerimanya saja secara 'memaksa diri' untuk percaya kerana hanya mahu 'play safe' dan takut sekiranya dihumban oleh Allah ke dalam api neraka kelak. Ianya adalah jauh berbeza sekali dengan 'kepercayaan'ku kepada ilmu sains, walaupun terdapat beberapa teori yang agak pelik, seperti teras bumi ini mempunyai suhu yang lebih panas daripada permukaan matahari, dan fosil-fosil yang ditemui ketika zaman-zaman purba paleolitik, mesolitik, neolitik, dan sebagainya. Aku dengan mudah mampu menerima logik dalam setiap topik sains kerana bukti-bukti yang sahih lagi kukuh, tidak seperti cerita-cerita keajaiban nabi-nabi yang agak kabur-kabur kesahihannya.

Cerita-cerita seperti ini tidak sedikitpun menggoyahkan keimananku. Malah ianya seolah-olah 'menguatkan' lagi keyakinanku terhadap agama. Aku banyak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti keagamaan seperti pertandingan nasyid dan hafazan. Dahulu, aku mempunyai inspirasi untuk menjadi seorang hafizah kerana mengetahui 'ganjaran' menariknya seperti dapat menyelamatkan 10 orang ahli keluarga yang lain dari seksaan api neraka. Aku mengikuti pelbagai pertandingan yang dianjurkan di dalam dan di luar sekolah, serta memenangi pertandingan tersebut untuk beberapa kali. 

Ketika bulan ramadhan pula, aku sentiasa teruja untuk melipat-gandakan amal ibadah kerana ganjaran pahala yang teramat banyak. Aku banyak menghabiskan masa membaca al-quran dengan target ingin menghabiskan bacaan 30 juzuk dalam satu bulan, di samping membaca buku-buku tazkirah, kehebatan malam-malam lailatul qadar, dan sebagainya. Tidak lupa juga sunat tarawih pada setiap malam. Bagiku, adalah sesuatu yang amat merugikan sekiranya terlepas walau sedetik pun peluang menambah pahala di bulan mulia ini. Sehinggakan tahap keterujaanku itu melampaui batas. Pernah satu hari aku masih menjalankan ibadah-ibadah tersebut walaupun dalam keadaan 'terlarang' seorang wanita. Ketika itu aku yakin sifat tuhan yang maha adil, maha pengasih dan maha penyayang tidak akan ambil kisah benda-benda remeh-temeh seperti ini dan ianya tidak akan sesekali mengganggu 'kerja' malaikat dalam mengira pahala setiap manusia yang ikhlas dalam melakukan amal ibadah. Malang sekali, ibuku akhirnya mengetahui perkara ini lantas menasihatkanku agar jangan melakukannya lagi. Aku hanya terpaksa akur ianya adalah satu kesilapan, dan peraturan agama sahajalah yang mutlak kebenarannya ketika itu..

Selasa, 10 September 2013

Terbang Bebas ke Awan (Bahagian 1)

Setiap dari kita mungkin mempunyai perspektif masing-masing mengenai tajuk di atas. Tidak terkecuali aku yang hanyalah seorang manusia biasa seperti kalian semua. Bagiku, 'terbang bebas ke awan' adalah gambaran yang tepat sekali dalam menjelaskan perasaan yang ku alami ketika ini, yang mungkin sukar untuk difahami kebanyakan manusia, terutamanya mereka yang beragama di luar sana.




Aku merupakan seorang ex-muslimah, atau lebih jujur lagi, murtad, satu gelaran yang pasti menggerunkan umat islam walaupun hanya menyebut atau mendengarnya sahaja. Dahulunya, aku merupakan antara insan yang amat dikenali sebagai seorang yang warak dan berpegang kuat kepada agama. 

Namun demikian, keadaan berubah dari hari ke hari ketika aku mendaki tangga ke alam kedewasaan. Sejak bila lagi menjadi murtad? Sesuatu persoalan yang tak mampu untuk ku rungkaikan kepastiannya lantaran aku sendiri tidak menyedarinya, seperti masa itu berlalu begitu pantas. Segala-galanya berlaku secara berperingkat-peringkat. Di mana keadaanku yang bermula dari seorang yang taat kepada perintah agama tanpa kompromi mahupun toleransi, beransur-ansur menjadi seorang muslimah dengan sifat yang lebih terbuka, seterusnya membawa kepada diriku yang ada pada hari ini. Tidak dinafikan bahawa sedikit sebanyak sikap keterbukaan, toleransi, dan ingin tahu yang ku semai ketika masih menjadi seorang muslimah merupakan penyebab utama mengapa aku berani mengubah prinsip kepercayaan yang ku yakini tidak ramai insan-insan di luar sana yang mampu mengharunginya.


Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang amat menitik beratkan soal agama. Aku sudah didedahkan dengan ilmu-ilmu agama ketika berusia 5 tahun. Ketika itu, ibuku menghantarku ke sebuah taska agama selama dua tahun. Taska agama itu adalah unik berbanding dengan taska-taska agama yang lain kerana ianya terkenal dengan pemakaian jubah dan purdah di kalangan ustazah-ustazahnya, manakala ustaz-ustaznya pula memakai serban. 


Tidak banyak yang boleh ku ingat pada ketika itu, akan tetapi terdapat beberapa peristiwa penting yang masih lagi segar di ingatanku sehingga ke hari ini. Di suatu pagi yang indah, aku dan rakan-rakanku sampai di taska selepas menaiki bas sekolah seperti biasa. Kami bermain-main di tepi kolam dan buaian di taman taska itu sebelum kelas dimulakan. Sambil asyik berkejaran dan bergelak tawa dengan rakan-rakan, aku secara senyap-senyap menyedari perlakuan pelik seorang ustaz ini. Dia memerhatiku dari jauh. Aku seorang sahaja yang menjadi fokus sedangkan ramai kanak-kanak lain yang turut berkumpul denganku di situ. Agak lama juga ustaz itu memerhatikanku lantas menerbitkan perasaan yang tak dapat ku gambarkan, lantaran kerdilnya pemikiran dan emosi kanak-kanak di usiaku yang baru sahaja mencecah 6 tahun ketika itu. Aku menyedari tingkah lakunya yang pelik, namun seperti kanak-kanak biasa yang lain, aku hanya buat-buat tidak tahu sahaja.


Tiba-tiba, ustaz ini akhirnya memberanikan diri untuk datang mendekatiku. Maka tidak hairanlah telaan ku ketika itu yang ustaz ini seperti mahukan sesuatu dariku. Dia memanggilku lantas mengarahkan ku untuk mengikutinya ke suatu sudut yang agak tersembunyi di sebalik bangunan taska itu. Aku pada mulanya enggan seperti ingin sahaja memberikan apa-apa alasan untuk tidak mengikutinya. Namun, mulutku terkunci seribu bahasa dan hanya mampu menurut katanya sahaja. 


Sampai di satu sudut, aku mula bertanya dalam keadaan yang masih terpinga-pinga., "Kenapa ustaz panggil aku seorang sahaja?". Ustaz itu dengan rakus merampas beg sekolah ku. Aku tergamam dengan kelakuannya itu. Aku hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa. Dia menyelongkar beg sekolahku sehingga menjumpai sebuah sampul surat. Sampul surat itu mengandungi sejumlah wang yang sepatutnya dijelaskan kepada seorang ustazah yang lain untuk yuran jamuan perpisahan di sebuah hotel. Aku memberitahunya hal yang sedemikian namun ustaz itu cuba pula meyakinkan ku bahawa sampul surat itu juga boleh diserahkan kepadanya. Sebagai seorang kanak-kanak, aku hanya mengiyakan saja perbuatannya itu tanpa keraguan.


Tibalah hari jamuan perpisahan, di mana ibuku juga turut menghadiri jamuan itu. Satu babak lagi yang tak dapat ku lupakan ialah ketika kami membuat persembahan nasyid di atas pentas. Aku dapat melihat ibuku dari jauh sedang rancak bercerita dengan ustazah-ustazah seolah-olah mengatakan sesuatu tentangku. Mungkin disebabkan keletihan, aku tiba-tiba sahaja pengsan di atas pentas dalam keasyikanku bernasyid sambil memerhatikan gelagat manusia-manusia yang memerhatikan persembahan kami pada ketika itu. Aku tidak menyedari keadaan yang berlaku selepas itu.


Selepas keadaanku menjadi baik, aku terus berjumpa dengan ibuku. Sambil tersenyum, ibuku bertanya kepada siapakah aku memberikan sampul surat yang berisi wang beberapa hari yang lepas. Aku serta-merta menunjuk ke arah ustaz yang ku ceritakan sebelum ini. Ustaz itu hanya menggelengkan kepala seolah-olah aku ini hanya mahu menuduhnya secara melulu. Keadaan hanya tergantung setakat itu sahaja selepas kami meninggalkan jamuan itu. 


Sampai sahaja di rumah, ibuku tidak habis-habis bertanyakan soalan yang sama sehingga aku sudah jemu menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dilontarkan. Apa yang lebih memalukan lagi, ibuku terpaksa pula membayar balik sejumlah wang yang telah hilang akibat sikap tidak bermoral ustaz itu. Keadaan ini tidak ubah seperti mereka lebih mempercayai seorang ustaz berbanding kanak-kanak yang baru sahaja berusia 6 tahun. 


Kejadian itu telah meninggalkanku dengan persoalan yang sama selama bertahun-tahun tentang mengapa ustaz itu melakukan perkara sedemikian rupa. Aku tidak ingat bila sebenarnya aku menyedari perbuatannya itu adalah sesuatu kejahatan. Apa yang pasti, sepanjang proses ke alam kedewasaan, perbuatannya itu saja tidak pernah sesekali mengganggu gugat kekuatan akidahku dan keyakinanku yang dahulu terhadap islam...  

Tempat Kegemaran Tuhan


Ahad, 8 September 2013

Delusi Popular: Pengalaman Nazak (Near-Death Experience)

Rata-rata mana-mana agama menganggap pengalaman nazak adalah suatu fenomena mistik di ambang kematian yang pasti akan dialami oleh setiap manusia. Ianya dikaitkan dengan pengalaman roh yang keluar dari jasad, disertai dengan perasaan seperti di awang-awangan, tanpa mengalami sebarang kesakitan, penuh ketenangan dan kebahagiaan, seperti melepaskan segala-galanya. Detik-detik penting dan bermakna yang dilalui sepanjang hidup disimpulkan menjadi sinopsis yang ringkas dalam sekelip mata. Seringkali seseorang yang mengalaminya melihat pancaran cahaya bersinar-sinar yang indah di hujung terowong, seolah-olah cahaya itu datangnya dari pintu gerbang syurga yang senantiasa dimpi-impikan.


Walau bagaimanapun, penyelidikan terkini telah mendedahkan penjelasan saintifik untuk hampir kesemua ciri-ciri lazim sesuatu pengalaman nazak. Antara penjelasan saintifik pengalaman nazak ialah melalui kejutan elektrik ekstrem yang berlaku secara mendadak lalu mengakibatkan kesan sensasi 'realiti' yang melebihi paras normal dalam aktiviti pemikiran seseorang. Halusinasi kemudiannya dijanakan kepada bayangan otak seolah-olah pengalaman yang dilalui berlaku di alam nyata. Hasil usaha dalam bidang penyelidikan yang komited dan berterusan, kita kini mampu mengetahui bahawa pengalaman 'mistik' seperti ini boleh disebabkan oleh rangsangan tenaga elektrik pada bahagian-bahagian tertentu otak, dengan pelbagai macam kaedah manipulasi..

Dalam sesetengah kes, penghidap serangan jantung yang menghidap trauma akibat peristiwa yang mengancam nyawa juga dilaporkan mengalami pengalaman yang sama. Ini disebabkan pengaliran darah berhenti buat seketika di dalam badan pesakit serangan jantung dan oksigen tidak dapat diedarkan secara mencukupi ke bahagian otak.

Cabaran bagi sains adalah untuk menjelaskan secara menyeluruh bagaimana otak menjana pelbagai jenis pengalaman yang luar biasa tanpa menganggap kesedaran yang wujud adalah bebas daripada otak. Contoh fenomena yang berkait rapat adalah pengalaman roh keluar dari jasad (Out-of-body-experience), di mana orang yang mengalaminya mendakwa seolah-olah jasad mereka terpisah daripada roh (kesedaran).

Setiap babak yang dipaparkan dalam pengalaman nazak mempunyai penjelasannya tersendiri. Contohnya, gerbang cahaya syurga yang dilihat itu adalah disebabkan oleh aliran darah berkurangan ke retina dan korteks visual (sepertimana kesan yang dialami juruterbang jet pada ketinggian dan kedudukan kuasa-G (G-force) ). Sementara pengulangan semula tayangan kehidupan adalah amnya disebabkan oleh pengaktifan semula kawasan otak yang berbeza agar kembali kepada normal, sama seperti seseorang itu terbangun selepas dibuai mimpi yang indah. Keadaan-keadaan seperti ini boleh dikaitkan dengan khayalan dan halusinasi dari segi penjelasan klinikal.

Kesimpulannya, fenomena nazak boleh diterangkan secara biologi tanpa perlu membawa masuk konsep 'taboo' yang menjadi kegilaan masyarakat kita seperti elemen-elemen roh yang kian menular dalam tradisi yang kuat dipengaruhi oleh konsep keagamaan. Keadaan ini hanyalah sesuatu yang merugilkan kerana seharusnya budaya tidak sihat seperti ketakutan tahap melampau sehingga mencetuskan obsesi, ketaksuban, dan penyakit-penyakit berkaitan psikologi adalah sesuatu patut kita elakkan.

Jumaat, 6 September 2013

Antara Sebab Mengapa Manusia Meninggalkan Agama

1- Agama Dijadikan Alasan Menindas dan Melakukan Kejahatan
Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan jenayah tidak berperikemanusiaan atas nama agama. Sejarah telah menunjukkan kepada kita bagaimana agama telah digunakan oleh kuasa politik sesebuah negara, di mana undang-undang agama dimanipulasi atas kepentingan sendiri lantas meraih kepatuhan rakyat walaupun terpaksa mengabaikan kebajikan dan menindas hak-hak mereka. 

2- Pemahaman Mendalam Ilmu Sains dan Pengetahuan
Terdapat banyak persoalan-persoalan utama telah dijawab dan dibuktikan melalui penemuan bukti-bukti fosil, 'carbon dating' dan sebagainya menggunakan kaedah saintifik. Persoalan-persoalan tersebut adalah seperti bagaimana kita wujud, dari mana asal usulnya manusia sehingga berjaya sampai ke tahap ini melangkaui masa dan sejarah peninggalan sehingga berjuta-juta tahun dahulu. Malangnya, terdapat fakta-fakta ini yang jelas sekali pertentangannya dengan kisah-kisah yang diceritakan dalam kitab-kitab agama. Dengan itu, tidak hairanlah golongan intelektual seperti saintis dan pakar-pakar ilmuwan yang lain cenderung untuk keluar dari landasan agama sebagai pilihan terbaik.


3- Analogi Agama-agama Terdahulu Yang Kini Tinggal Hanya Mitos
Mitos-mitos ketuhanan dalam tamadun Yunani, Rom, Norse, dan lain-lain, pernah dipraktikkan sebagai agama oleh masyarakat yang hidup ketika kewujudan tamadun-tamadun tersebut. Tamadun-tamadun ini sudah mendahului beratus-ratus tahun sebelum agama samawi (Yahudi, Nasrani/Kristian dan Islam) diasaskan. Terdapat banyak mitos purba yang diinspirasikan dari satu mitos ke satu mitos yang lain, sepertimana dalam mitos-mitos ketuhanan Rom dan Yunani (Zeus dan Musytari, Zuhrah dan Aphrodite, dan lain-lain). Gunung Olympus, iaitu gunung tertinggi di Yunani, dianggap sebagai versi syurga mereka. Sama jugala konsepnya dengan agama-agama dominan yang masih bertahan sehingga ke hari ini. Manusia yang meninggalkan jalan agama menganggap agama-agama yang wujud pada hari ini tidak ubah seperti mitos purbakala.

4- Kitab-kitab Agama Yang Tidak Selari Dengan Nilai-Nilai Moden
Kitab-kitab ini mengandungi teks yang sangat lama dengan pelbagai macam tafsiran dalam proses percubaan untuk memeliharanya sehingga ke hari ini. Kitab-kitab suci yang telah membentuk pelbagai cabang-cabang fahaman adalah sesuatu yang amat mengelirukan dan diragukan ketulenan dan keasliannya. Seseorang hanya mampu percaya membuta tuli kesahihan sesuatu ayat tanpa persoalan dan penggunaan 'reasoning' yang sepatutnya dalam menentukan sesuatu kebenaran. Ayat-ayat berkaitan dengan perhambaan, hukuman hudud yang melampaui batas, penindasan hak-hak wanita dan golongan minoriti bukan islam, dan sebagainya sudah tidak mendapat tempat di dalam hati masyarakat moden yang cenderung menuju ke arah kesatuan universal yang maju dan bertamadun.

5- Agama Sudah Tidak Relevan
Terdapat beribu-ribu agama di seluruh dunia yang berlumba-lumba menyatakan agama merekalah agama yang satu-satunya benar dan agama lain itu salah. Persoalannya, jika sesuatu agama itu benar, mengapa ianya tidak sahaja menjadi agama yang sepakat untuk dianuti seluruh lapisan masyarakat dunia? Mengapa tuhan perlu bersikap pilih kasih dalam memilih siapa yang diberikan hidayah ataupun sebaliknya, sedangkan kuasa itu semua terletak di tangannya?

Khamis, 5 September 2013

Kekurangan Dalam Pemahaman Manusia Sebagai Bukti Kewujudan Tuhan

Tidak dinafikan bahawa setiap cabang dalam bidang sains masih tidak lengkap lalu masih meninggalkan pertanyaan dan ruang-ruang kosong yang mungkin bakal diisi oleh generasi penyelidik di masa hadapan. Ahli-ahli sains biasanya melihat hal ini sebagai sesuatu yang masih terbuka dengan pelbagai bentuk kemungkinan. Terdapat individu yang berhujah menyimpulkan secara terburu-buru tanpa akal yang panjang bahawa segala sesuatu itu adalah di tangan tuhan, hanya kerana tiada teori saintifik yang mampu menjelaskan sesuatu perkara/fenomena itu. 

Hujah-hujah seperti ini juga dikenali sebagai hujah "tuhan jurang/ruang kosong" (God-of-the-gaps). Namun risiko tetap menghantui kekuatan hujah seperti ini apabila perkembangan ilmu sains itu sentiasa maju ke hadapan merungkai persoalan dan mengisi ruang-ruang kosong itu satu demi satu. Kesannya, bukti kekuasaan Tuhan itu semakin hilang dengan hasil penemuan-penemuan saintifik terbaru. 


Kisah ahli-ahli saintis ternama seperti Isaac Newton dan Albert Einstein adalah antara contoh klasik dalam penghujahan tuhan jurang/ruang kosong. 

Newton telah mencipta satu persamaan matematik untuk daya graviti dalam menerangkan dan meramalkan pergerakan planet dengan ketepatan yang jitu. Orbit planet yang mengelilingi matahari boleh dikira berdasarkan formulasi teori beliau. Akan tetapi, terdapat juga interaksi graviti antara planet-planet, bukan sahaja interaksi graviti antara planet dan matahari.

Sebagai contoh, apabila Bumi melintasi perjalanan Marikh dalam orbitnya mengelilingi matahari, terdapat interaksi yang kecil tetapi penting dalam menpengaruhi kadar graviti antara Marikh dan Bumi. Disebabkan interaksi seperti ini berlaku beberapa kali dalam setahun, Newton lantas mengesyaki bahawa terdapat gangguan graviti yang terkumpul secara perlahan-lahan lalu sedikit mencacatkan kesempurnaan postulat teori beliau. Untuk mengatasi hal ini, Newton telah mencadangkan bahawa Tuhan semestinya perlu sekali-sekala untuk campur tangan dalam menyesuaikan (tune up) sistem solar untuk menjaga kestabilan alam semesta. 

Ini merupakan salah satu contoh pemikiran "tuhan jurang/ruang kosong' oleh Newton. Pada permulaanya, teori-teori saintifik dicadangkan bagi menerangkan seberapa banyak mungkin ilmu yang mampu difahami. Kekuasaan Tuhan kemudiannya dibawa masuk untuk menutup apa-apa jurang dan ruang kosong yang masih tidak dapat dijelaskan fenomena/kejadiannya.

Hasil sumbangan penyelidikan yang berterusan, kita kini mampu mengetahui bahawa terdapat kekurangan dalam pemahaman Newton yang tidak seharusnya dijawab dengan hujah tuhan jurang/ruang kosong yang sudah tidak relevan. Ahli saintis ternama seperti Albert Einstein yang mengemukakan teori kerelatifan 'masa dan ruang' dengan ketepatan pengiraan yang lebih jitu telah mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh teori Newton. Dengan itu, pelbagai macam persoalan yang lain juga tidak perlulah disumbat lagi jurangnya dengan delusi yang sekian lama menjadikan manusia lebih malas berfikir secara kritikal dan mencari jawapan misteri kehebatan alam ini.

Nilai-nilai Murni Dari Kaca Mata Seorang Freethinker

1 - Belas kasihan
Tanggapan seperti freethinker tidak mempunyai perasaan belas kasihan ini adalah tuduhan biasa yang dilontarkan oleh golongan agamawan. Seorang ahli falsafah bernama Bertrand Russell, membuat kenyataan berikut;
"Manusia cenderung mempunyai kepercayaan yang sesuai dengan keinginan nafsu mereka. Dengan itu, manusia kejam yang percaya kepada tuhan yang kejam boleh menggunakan kepercayaan mereka untuk alasan melakukan kezaliman. Hanya manusia yang percaya kepada tuhan yang baik akan melakukan perkara yang baik".
Dalam erti kata lain, seseorang itu tidak perlu percaya kepada tuhan yang zalim dan suka memberikan ujian dan hukuman untuk menjadi insan yang baik. Banyak kekejaman dalam sejarah masa lalu telah membuktikan dengan jelas bahawa agama dan kebaikan adalah dua perkara yang berbeza.

2 - Ilmu Pengetahuan
Ajaran agama-agama tradisional lazimnya meletakkan sekatan tertentu lantas membataskan ilmu pengetahuan manusia dalam mendalami sesebuah ilmu itu. Contoh terbaik; teori sains evolusi Darwin. Tradisi konservatif agama cenderung untuk menanamkan sentimen yang kuat bahawa tidak perlu mendalami sesuatu ilmu yang telah jelas membawa pertentangan kepada ajaran agama. Hasilnya, kanak-kanak ini membesar dalam kejahilan ilmu, yang mana dalam sesetengah kes yang lazim berlaku di kalangan wanita adalah pergaulan yang terlampau dibataskan oleh keluarga lantas terhadnya ilmu pengetahuan kepada mereka. Ini seterusnya memberikan impak yang besar terhadap kehidupan sosial dan kerjaya golongan wanita tersebut. Terdapat golongan pelampau agama yang tidak memberikan kebebasan terhadap wanita lalu meletakkan peranan wanita tersebut terhad untuk menjadi seorang isteri dan ibu sahaja yang terkurung di rumah. Hal ini jauh berbeza sekali buat Freethinker yang tidak mempunyai apa-apa sekatan . Malah, akses kepada pelbagai jenis ilmu pengetahuan mengenai apa-apa juga perkara tidak terbatas. Dengan itu, faedah dari pembelajaran sesuatu ilmu mampu memberikan manfaat dan sumbangan ke atas diri sendiri dan orang lain.

3 - Kebahagiaan
Apakah makna sebuah kebahagiaan? Kebahagiaan itu datang dari hidup tanpa tekanan, mahupun kebimbangan sekiranya seseorang akan membebankan orang-orang sekeliling kerana masih tidak mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan hidup sendiri. Hal ini tidak sama untuk mereka yang hidup dalam kekangan agama. Ketaatan kepada agama menjadi kebimbangan utama. Sedangkan terdapat faktor lain yang perlu dipertimbangkan dan diletakkan di tempat teratas seperti keselesaan fizikal, emosi dan kewangan individu yang lebih nyata kaitannya dengan realiti kehidupan. Natijahnya, kebahagiaan individu seperti inilah yang selalu diabaikan oleh golongan fundamentalis/extremis agama atas sebab agama sahajalah yang menjadi nombor satu. Tidak seperti Freethinker, melakukan sesuatu yang disukai adalah kebebasan, menyukai yang sesuatu yang dilakukan adalah kebahagiaan. Insan beragama yang tiada kebebasan melakukan perkara yang mereka sukai sudah tentu tidak mampu mengecapi kebahagiaan sebenar sepertimana yang dikecapi Freethinker.


4 - Pilihan
Kebebasan adalah kunci utama dalam menentukan sesuatu pilihan yang terbaik dalam kehidupan. Pilihan terbaik adalah kunci kepada kebahagiaan sebenar.

5 – Kuasa
Tiada yang lebih memberikan kepuasan yang lebih baik selain daripada memiliki kuasa dalam mengawal cara hidup kita sendiri . Sama ada kita menggunakan kuasa secara bijak atau tidak, itu terpulang kepada diri masing-masing. Menyerahkan kuasa (takdir) kita ada kepada kuasa penuh kejahatan adalah suatu tindakan yang berbahaya, terutamanya apabila kuasa tersebut cenderung dalam memikirkan kepentingan peribadinya sahaja, lalu mengabaikan kebajikan kita dengan sewenang-wenangnya.

6 - Toleransi
Toleransi itu lahir daripada kebebasan pemikiran. Dengan itu, saya yakin perbezaan fahaman/agama tidak menjadi masalah kepada sesiapa saja asalkan setiap pihak tahu akan had masing-masing. Tiada sesiapa perlu memaksa orang lain menerima sesuatu idea yang sudah tidak relevan dalam diri mereka. Hal ini tidak berlaku dalam islam. Islam tiada toleransi terhadap golongan murtad, kristian, non-muslim, mahupun mazhab selain sunni sepertimana mazhab syiah yang dinafikan hak asasinya di Malaysia. Akibatnya, berlakulah penindasaan terhadap golongan-golongan ini, kononnya atas nama tuhan lantas mengabaikan nilai moral kemanusiaan.  Mereka dengan sikap endah tak endah hilang sikap toleransi hanya kerana pengaruh kitab-kitab lama berusia 1400 tahun itu.

Rabu, 4 September 2013

Perbezaan Di Antara Agama & Kerohanian

Agama dan kerohanian merupakan dua perkataan yang berbeza yang saling berkait rapat sehingga kebanyakan manusia selalu keliru dan tidak mampu menilai perbezaannya berdasarkan kekuatan analisis minda dan hati nurani. 

Perkaitan antara agama dan kerohanian itu terjadi apabila agama digunakan sebagai sumber kerohanian melalui perkongsian nasihat, motivasi ketenangan melalui ceramah-ceramah agama, dan pelbagai lagi aktiviti yang lain. Malangnya, tidak dapat disangkal lagi agama juga merupakan punca keganasan , peperangan, diskriminasi, ketaksuban, penderitaan, dan pelbagai jenis kejahatan yang lain. Seringkali juga kita mendengar ahli politik cuba menyalahgunakan konsep keagamaan dalam mewajarkan pemikiran politik dan penguatkuasaan undang-undang yang tidak relevan sehingga menindas golongan tertentu, terutamanya golongan minoriti. 

Lain pula ceritanya untuk terminologi kerohanian dari perspektif kemanusiaan tanpa perkaitannya dengan ajaran agama. Pendekatan kerohanian tersebut adalah melalui penekanan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, belas kasihan, toleransi, tanggungjawab dan keprihatinan terhadap orang lain. Ini adalah sifat-sifat  universal tanpa mengira apa-apa fahaman yang tidak boleh dilihat secara kasar, akan tetapi dapat dirasai dan boleh disimpulkan melalui pemerhatian kita. Kerohanian adalah nilai sensitiviti seseorang kepada perkara-perkara bersifat dalaman melalui naluri semulajadi manusia. 


Maka dapat dilihat di sini bahawa agama merupakan sebuah tradisi dengan ajaran-ajaran tertentu, manakala kerohanian pula adalah hasil dari pengalaman yang timbul ketika menjelajah nilai dalaman diri kita sendiri dalam mencari sebuah kebenaran.

Seseorang yang melompat ke dalam sungai yang sejuk dan membahayakan nyawanya sendiri untuk menyelamatkan nyawa orang yang tidak dikenali tidak perlu bertindak mengikut sebab rasional, sebaliknya hal ini datang dari nilai dalaman individu tersebut. Tindakan ini hanya boleh difahami melalui nilai kerohaniannya.

Kesimpulannya, seseorang itu perlu mempunyai pemahaman seni dan kecantikan untuk menghargai satu nilai kesenian simfoni ataupun sesebuah lukisan. Begitu juga dengan kerohanian. Kesedaran dalaman naluri manusia itulah sendiri yang menjadi inspirasi kepada nilai kerohanian, tanpa perlu ditentukan nilainya oleh mana-mana entiti yang mempunyai masalah mental yang serius.

Di Mana Letaknya Kebebasan Minda

Kerap kali orang-orang yang fanatik agama memberikan peringatan kepada golongan freethinker yang tidak berpegang kepada mana-mana agama (ateis, agnostik, deist, dll) mengenai penyesalan dan dosa-dosa besar yang bakal ditanggung seumur hidup akibat tidak menyembah tuhan mereka. Golongan ini suka menggembar-gemburkan, malah memaksa manusia yang tidak mempercayainya agar menerima idea keajaiban dan kebahagiaan yang bakal dikecapi di syurga akhirat kelak.

Secara peribadi, saya tidak kisah tentang delusi mereka ini, asalkan tiada siapa yang mengganggu atau menyekat kebebasan kehidupan peribadi dan pemikiran freethinker dalam kehidupan seharian, sama seperti golongan beragama lain juga yang tidak disekat kepercayaan mereka. Namun, realiti pada masa kini nampaknya berbeza apabila kebebasan beragama/mengamalkan kepercayaan itu dihalang, sedangkan salah satu mazhab dalam islam iaitu syiah di Malaysia juga turut disekat fahamannya atas alasan mengancam akidah sunni muslim. Maka, tidak hairanlah golongan aktivis sudah kian bercambah bak cendawan tumbuh dari hari ke hari, dengan tujuan murni untuk memperjuangkan hak-hak manusia yang paling asas ini.

Ironinya, fanatik agamawan ini, dengan minda yang kolot dan sempit penuh prajudis seringkali tidak memikirkan secara kritikal mengenai fakta bahawa golongan freethinker juga mampu menggapai kebahagiaan optimum yang sebenar. Namun kebahagiaan itu adalah berbeza dengan insan beragama kerana minda freethinker tidak diancam dengan kekejaman tuhan yang suka menghumban ciptaannya sendiri ke dalam api neraka, di mana sifat tuhan seperti ini adalah amat menjengkelkan. Freethinker juga bebas daripada angan-angan delusi nikmat kayangan yang palsu. Kebebasan minda adalah suatu nikmat tak terkata dan justifikasi utama yang membezakan golongan freethinker daripada manusia yang berpegang kepada agama, di mana tabiat berfikir secara sihat sentiasa dipupuk dari semasa ke semasa.

Keseronokan yang dinikmati daripada pembelajaran melalui tabiat rasional pemikiran tanpa kekangan mampu mengelakkan 'mindset' yang negatif lantas mencambahkan lagi semangat yang positif dalam diri individu yang berfikir secara sihat dan bebas. Dengan itu, tidak perlulah sifat minda manusia yang tiada batasan ini dibataskan pula dengan kepercayaan terhadap kisah dongeng manusia zaman dahulu kala yang cukup terbatas. Ya, manusia mempunyai potensi minda yang tak terbatas, cuma bezanya kita perlu menggunakannya ke tahap maksimum melalui cara membebaskan mentaliti dari sebarang bentuk perhambaan.

Selasa, 3 September 2013

Moraliti Tanpa Agama

Etika adalah salah satu cabang falsafah yang merangkumi analisis dan cadangan prinsip-prinsip moral dan tingkah laku dalam kehidupan yang lebih adil. Ramai golongan agama berhujah bahawa kuasa yang lebih tinggi adalah satu-satunya sumber yang pasti dalam menetapkan sesuatu prinsip-prinsip moral itu. Kebanyakan ahli etika moden menafikan dakwaan ini, walaupun peranan tulisan-tulisan agama tetap tidak dinafikan mereka sebagai sumber untuk idea-idea moral. Jika idea-idea yang dicadangkan oleh kitab-kitab agama adalah sesuatu yang baik, maka tidak menjadi kesalahan untuk ianya diterima dalam standard kehidupan masyarakat sejagat. Moral itu berasal dari akal logik manusia. Dengan itu, orang yang menggunakan logik sebaiknya bersandarkan kepada hujah-hujah moral seharusnya tidak mempunyai masalah dalam mematuhi standard pemikiran yang bermoral.


TIPS-TIPS KE ARAH PEMIKIRAN MORALITI TANPA AGAMA

1. Hayatilah kenyataan bahawa kehidupan ini adalah satu-satunya saja yang kita ada. Agama seharusnya tidak perlu menentukan cara hidup kita secara mutlak hanya kerana ingin selamat dari api neraka lantas mendapatkan kedudukan yang lebih baik di syurga pada hari akhirat kelak. Sebaliknya, moral itu perlulah dimaksimumkan peranannya dalam kehidupan. 

Setiap individu mampu memiliki satu kod moral yang sama walaupun mempunyai matlamat-matlamat yang berbeza, kerana hakikatnya tiada mana-mana prinsip yang mampu menandingi keluhuran prinsip kemanusiaan sejagat, tidak seperti perbezaan ideologi/agama yang sentiasa mencetuskan peperangan dan perbalahan, lantas membataskan lagi nilai-nilai moral manusia itu sendiri.

2. Moraliti yang sebenar bukanlah datang dari agama. Moral berasal dari pelbagai sumber dan tuhan sahaja bukanlah satu-satunya sumber moraliti. Naluri semulajadi manusia juga merupakan sumber terbaik moraliti. Persoalannya, adakah sesuatu yang baik itu adalah baik hanya setelah tuhan memberitahu kita yang sedemikian ATAU adakah sesuatu itu adalah baik kerana naluri manusia memberitahu ianya adalah baik tanpa mengira arahan-arahan  daripada tuhan itu sendiri?? Renung-renungkan..

3. Motivasi moraliti itu juga datangnya dari aspek biologi manusia. Perubahan dalam populasi berlaku sebagai pra-kepelbagaian species bagi membenarkan ciri-ciri ideal manusia tertentu mampu untuk diwariskan kepada anak-anak generasi masa depan, pada masa yang sama menghapuskan ciri-ciri genetik yang kurang kelebihannya. Ini menjadikan ciri-ciri yang baik dalam species manusia sentiasa berkembang secara turun-temurun berbanding dengan nenek moyang kita, sehinggala ciri-ciri genetik yang tidak baik itu dihapuskan. Sepanjang proses evolusi manusia, nenek moyang kita hidup dalam kelompok-kelompok kecil di mana ahli-ahli keluarga/komuniti tertentu mempunyai hubungan yang akrab dan berkemungkinan mempunyai hubungan yang berkekalan sepanjang hayat mereka. Proses ini menggalakkan lagi perkembangan moraliti secara sosial demi untuk mengukuhkan silaturrahim sesama mereka, dengan tujuan memastikan kemandirian dan 'survival' species melalui kelahiran lebih ramai anak-anak pewaris. Sastera dalam biologi evolusi yang bersifat mendalam dan menyeluruh adalah salah satu justifikasi terbaik moraliti manusia itu sendiri.
        
4. Fahamilah bahawa akal manusia adalah alat yang paling berkuasa dan berpotensi sebagai sumber rasional terbaik. Nilai moral yang kita miliki seharusnya tidak perlu dipengaruhi faktor samada tuhan itu wujud mahupun tidak. 

Mengapa Teori Evolusi Mendapat Tempat Di Mata Komuniti Intelek/Saintifik


Evolusi adalah sebuah teori sains. Apabila sesuatu itu dikaitkan dengan sains, maka ianya juga adalah sesuatu perkaitan dengan ilmu yang boleh dikaji dan diketahui dengan realiti yang nyata.




Teori evolusi adalah bergantung kepada fakta empirik (berdasarkan eksperimen dan pemerhatian) dan bersifat konsisten; teori-teori logik berkaitan dengan dunia adalah berasal dari fakta-fakta sedemikian (sepertimana fakta dalam teori sains evolusi). Ianya bukanlah satu cabang falsafah, mahupun sistem kepercayaan, atau agama ; namun malangnya untuk teori sains evolusi saja, manusia dengan dogma agama yang kuat sentiasa mempunyai kecenderungan untuk menafikannya dengan konsep keagamaan, iaitu berkaitan penciptaan makhluk oleh tuhan semesta alam.

Terdapat beberapa kriteria tertentu yang melayakkan sesuatu perkara itu sesuai untuk dikenali sebagai agama. Namun demikian, evolusi gagal menepati kesemua kriteria-kriteria tersebut. Teori evolusi tidak mempunyai nabi, kitab-kitab suci, kuil, mahupun ciri-ciri keagamaan/ritual yang lain. Ianya tidak menetapkan apa-apa peraturan untuk suatu perlakuan/tingkah laku; evolusi tidak menjanjikan sebarang pahala jika seseorang ingin mematuhinya, ia juga tidak mengancam mana-mana individu yang menafikannya dengan hukuman neraka jahannam. Ianya tidak menyediakan apa-apa kaitan dengan ritual penyembahan ; tiada sesiapapun yang perlu berdoa kepada evolusi. Ianya juga tidak menyentuh langsung mana-mana topik kehidupan selepas kematian ataupun kewujudan roh. Teori sains evolusi juga tidak menyentuh isu-isu samada tuhan itu wujud ataupun tidak wujud. Teori evolusi merupakan mekanisme yang menyebabkan kehidupan di bumi ini mengalami dan menjayakan lagi proses kepelbagaian species.

Terdapat sesetengah pihak yang membuat dakwaan bahawa evolusi mempunyai kedua-dua nabi dan kitab – iaitu Charles Darwin dan bukunya ‘On the Origin of Species’. Walau bagaimanapun, dakwaan ini adalah mengarut dan tidak berasas. Walaupun Darwin merupakan seorang ahli sains yang bijak dan cerdik , tiada siapa yang pernah mendakwa bahawa tulisan beliau adalah berbentuk seperti ayat-ayat suci, mahupun mempunyai sebarang kelebihan kurniaan tuhan atau mukjizat yang tidak terdapat dalam diri mana-mana manusia biasa.

Teori pemilihan semula jadi (‘natural selection’) yang diformulasikan Darwin adalah lahir daripada tahap  pendidikan sains beliau yang tinggi, disertai dengan kajian dan pemerhatian yang mendalam dan teliti. Walaupun telah menghasilkan satu kertas kerja yang diterima secara meluas di dalam komuniti sains atas sebab kesahihannya dalam menyelesaikan beberapa pertikaian ilmu, masih terdapat sedikit kesilapan dan ketidaklengkapan teori Darwin dalam beberapa cabang teori evolusi yang terkini, seperti spekulasi mengenai mekanisme pewarisan, yang kurang difahami pada zamannya dan mungkin agak sukar juga untuk beliau menjangkakan kebenarannya pada ketika itu. Teori evolusi kekal dalam menerapkan banyak idea-idea asal Darwin, walaupun terdapat perubahan ke atas teori tersebut sesuai dengan penemuan-penemuan terbaru ahli-ahli sains biologi dan cabang-cabang saintifik lain yang berkaitan. 

Isnin, 2 September 2013

Penjelasan Rasional Fenomena Ghaib

Fenomena mengalami gangguan ghaib adalah satu kejadian yang tidak asing lagi.. Setiap kelompok masyarakat mempunyai pandangan dan penjelasan masing-masing berkenaan fenomena ini. Tidak terkecuali penjelasan logik dan rasional dari segi saintifik seperti perubatan moden dan gelombang infrasound, yang nampaknya agak kurang disebarkan penjelasannya kerana cabarannya terhadap perubatan tradisional/alternatif yang lebih menjurus kepada keagamaan, di mana seringkali syaitan-syaitan, jin-jin, mahupun kuasa sihir yang jahat jugalah yang dipersalahkan.. Diharap 'pesakit-pesakit' ghaib di luar sana dapat meluangkan sedikit masa yang berharga untuk menghayati coretan artikel yang saya sediakan ini. Semoga ianya mampu memberi sumbangan dalam menangani masalah gangguan yang anda alami.

Majoriti 'pesakit ghaib' (orang yang mendakwa telah melihat makhluk ghaib) dari segi penjelasan perubatan moden, berlaku samada ketika tidur atau hanyut di hujung fasa tidur. Ini adalah keadaan yang paling sesuai untuk mencetuskan mekanisme kelumpuhan tidur ('sleep paralysis'). Semasa tidur REM (Random Eye Movement - iaitu tidur nyenyak yang mendalam), walaupun aktiviti otak masih aktif, badan tetap dilumpuhkan sebagai satu cara adaptasi/penyesuaian yang menghalang kita daripada melakukan sebarang aktiviti fizikal semasa tidur.

Namun demikian, terdapat kes di mana sebahagian daripada kesedaran minda seseorang mampu dikejutkan semasa tubuh badan masih lagi lumpuh dan dalam keadaan bermimpi, di mana keadaan ini akhirnya menyebabkan individu tersebut mengalami perasaan yang menakutkan kerana merasakan seolah-olah dirinya telah sedar sepenuhnya (walhal ianya hanyalah separa sedar), tetapi dalam keadaan tidak mampu bergerak mahupun bercakap. Ianya umpama keadaan di antara bangun dan terjaga.


Apa yang lebih menyeramkan lagi, apabila mekanisma kelumpuhan tidur ini sering diiringi dengan halusinasi yang amat jelas seperti benar-benar berlaku di depan mata dan perasaan yang kuat juga memberitahu tentang kewujudan 'makhluk ghaib' tersebut pada tempat dan masa yang sama. Halusinasi jelas dalam bentuk audio atau visual ini sebenarnya hanyalah dihasilkan oleh otak yang masih dibuai mimpi ketika sudah separa terjaga. Sudah mimpi itu mainan tidur, jadi berhalusinasi itu juga umpama mainan kembali otak manusia yang sudah menyimpan pelbagai macam informasi tentang pelajaran/pengalaman hidup..

Terdapat satu lagi fenomena yang berkaitan yang mungkin menjelaskan sebahagian besar daripada cerita-cerita mistik 'makhluk ghaib', iaitu Infrasound. Infrasound ialah sejenis gelombang bunyi dengan bacaan frekuensi di bawah 20 hertz, di mana ianya mempunyai nada yang terlalu perlahan untuk didengari oleh telinga manusia. Namun begitu, gelombang yang dipancarkan oleh Infrasound mampu untuk mempengaruhi daya kesedaran manusia. 

Sebuah kajian telah dijalankan di sebuah konsert di mana beberapa jenis muzik telah digabungkan dengan bunyi infrasound. Peratusan yang besar diperoleh daripada individu-individu yang mendengar sampel muzik ini dilaporkan mengalami kebimbangan, keresahan, kesejukan dan ketakutan, berbanding dengan kumpulan kawalan yang bebas daripada bunyi infrasound. Infrasound boleh dicetuskan secara semulajadi mahupun buatan manusia. Ianya boleh dihasilkan melalui fenomena seperti gelombang lautan, angin, gempa bumi, dan getaran artifak manusia pada frekuensi-frekuensi tertentu. Dengan itu, adalah sesuatu yang tidak mustahil sekiranya getaran dalam rumah-rumah lama yang disebabkan oleh angin dan cuaca atau rumah itu yang tidak stabil, mampu menjana gelombang infrasonik, dan seterusnya menjelaskan dengan lebih rasional situasi gangguan yang berlaku.

Alam Semesta Dari Perspektif Kitab-Kitab Lama

Seringkali umat islam menyatakan bahawa Al-Quran dan Hadis mengandungi rujukan kepada penciptaan dunia fizikal dan realiti yang seiring dan tidak bercanggah dengan teori Sains. Namun demikian, di sebalik usaha-usaha pendukung prinsip-prinsip seperti ini, masih terdapat ayat-ayat suci yang menunjukkan percanggahan sains dan agama sekiranya diteliti secara mendalam;

Sahih Bukhari Jilid 4, Kitab 54, Nombor 414

"... Baginda (Muhammad) bersabda," Pertama sekali, tiada apa-apa melainkan Allah, dan (kemudian Dia menciptakan Arasy-Nya). Takhta-Nya di atas air, dan Dia menulis segala-galanya di dalam Kitab (di syurga) dan menciptakan langit dan bumi ... "

Ayat hadis di atas menyatakan bahawa takhta Allah berada di atas air yang sepertimana juga disebut di dalam al-Quran 11:07;

"Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa -. Sedang ArasyNya berada di atas air"

Sekiranya diteliti, penterjemah hadis di atas telah membuat kurungan, di mana beliau telah menulis (kemudian Dia menciptakan Arasy-Nya). Namun sekiranya beliau (penterjemah) tidak mempunyai sebarang pengetahuan dari al-Quran berkenaan takhta Allah (Arasy), kewujudan Arasy  tersebut dalam penceritaan penterjemah hadis di atas mungkin tidak wujud sama sekali. Agak meragukan juga kerja seorang penterjemah hadis ini ya.

Bagaimana pula dengan air? Petikan ayat-ayat di atas memggambarkan bahawa air wujud sebelum Allah menciptakan dunia/alam ('universe'). Apakah yang menahan molekul-molekul air tersebut? Adakah sifat air tersebut tidak memerlukan bekas yang perlu menakungnya? Seolah-olahnya bumi perlu diciptakan untuk menahan limpahan-limpahan air tersebut. Mampukah bumi wujud tanpa kewujudan ruang atau alam semesta terlebih dahulu sepertimana yang dinyatakan dalam teori Big Bang? Persoalan-persoalan sains yang mendalam telah banyak merungkai kesilapan kronologi dalam penciptaan alam semesta sepertimana yang diceritakan dalam kitab-kitab lama ini..



No.
Penjelasan
1
Takhta Allah/Tuhan
2
Tujuh Lapis Syurga
3
Air Di Atas Langit/Lautan Syurga
4
Pintu Gerbang Syurga
5
Bumi Yang Rata
6
Air Masin/Lautan-Lautan Dunia
7
Air Tawar/Mata Air Bumi
8
Posisi Bulan
9
Posisi Bintang-Bintang
10
Lautan Kosmik
11
Tiang-tiang Langit dan Bumi Yang Tidak Boleh Dilihat
12
Neraka/Tujuh 'Bumi'
13
Penghadang antara Dua Laut


Menurut nabi Muhammad, Bumi yang didakwa terdiri daripada tujuh lapisan adalah berbentuk rata seperti hamparan sejadah, dan bukannya sfera sepertimana diketahui umum generasi masa kini. Terdapat beberapa ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang menceritakan dakwaan-dakwaan ini;

Quran :

18 : 86 - Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka".

18 : 89 -  Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

18 : 90 - Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.

Secara ringkasnya ayat-ayat ini mendakwa bahawa Zulqarnain, yang merupakan Alexander the Great menurut orang tua-tua telah menakluki dunia dari satu benua ke benua yang lain. Jika detiliti, ayat-ayat di atas menyatakan bahawa Zulqarnain bergerak dari satu hujung dunia ke satu hujung dunia yang lain untuk mencari tempat yang betul-betul terletaknya tempat terbit dan terbenamnya matahari itu.

Ini merupakan pertentangan fakta yang jelas. Sudah menjadi pengetahuan 'common sense' dalam diri setiap manusia pada abad ini bahawa matahari terbit dan terbenam pada SEMUA tempat tidak kira di mana sahaja lokasi latitud/longitud manusia itu berada di bumi. Bumi ini berbentuk sfera dan bukannya rata seperti anggapan majoriti manusia sebelum munculnya ahli astronomi tersohor, Gallileo Gallilei. Dari petikan ayat-ayat di atas,dapatlah disimpulkan bahawa Nabi Muhammad, seperti kebanyakan orang yang sezaman dengannya percaya bahawa bumi adalah rata dan Matahari bergerak di langit dengan cara bergerak dari satu posisi tetap permulaan ke posisi tetap pengakhiran, sepertimana ianya bergerak dalam keadaan linear, dan bukannya secara membujur (ellipse).