Jumaat, 13 September 2013

Pendekatan Positif Terhadap Kehidupan Melalui Humanism (Kemanusiaan)

Melakukan perkara baik atas alasan mahu mendapat ganjaran syurga dan tidak mahu ke neraka merupakan alasan yang lazim kita dengar dari manusia beragama. Saya sering tertanya-tanya, adakah alasan mereka ini konkrit atau hanya terikut-ikut tradisi/majoriti masyarakat sahaja? Tidakkah idea dan justifikasi setiap manusia dalam melakukan kebaikan perlu lahir dari pengetahuan dan pengalaman unik setiap individu tanpa pengaruh sesiapa? Bagaimana sekiranya syurga itu tidak wujud? Adakah manusia tetap akan berkelakuan baik tanpa mengharapkan ganjaran atau hukuman selepas mati?

Pendekatan seperti ini telah melahirkan sekelompok manusia yang digelar 'Humanis (Humanist)'. Humanis berpegang kepada konsep Humanism (Kemanusiaan). Sementara ateisme membawa makna ketidakpercayaan terhadap mana-mana entiti/agama, kemanusiaan adalah sikap positif terhadap dunia yang tertumpu kepada pengalaman manusia, pemikiran dan harapan. Kemanusiaan (Humanism) adalah satu pendekatan untuk kehidupan berdasarkan sebab/justifikasi dalam kesaksamaan manusia sejagat, dalam masa yang sama menyedari bahawa nilai-nilai moral yang betul adalah datangnya dari sifat dan pengalaman manusia sendiri. 


Humanis percaya bahawa pengalaman manusia dan pemikiran rasional merupakan sumber-sumber kukuh dalam menjustifikasikan pengetahuan dan kod moral di dalam kehidupan. Humanis menolak idea-idea berkaitan tuhan-tuhan, mahupun buku-buku agama lama. Hal ini disebabkan agama seringkali meletakkan kebajikan dan kebahagiaan manusia terhimpit di tengah-tengah dalam membuat keputusan sesuatu kod etika. Contohnya seperti kebajikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak pengguguran anak bagi ibu yang belum bersedia, dan sebagainya .

Kemanusiaan adalah pendirian hidup berdemokrasi dan beretika, di mana ianya menegaskan bahawa manusia mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memberi makna dan bentuk kepada kehidupan masing-masing. Ini seterusnya memberi impak dalam membina masyarakat yang lebih berperikemanusiaan melalui etika berdasarkan keupayaan manusia berfikir dan menimba ilmu secara ideal sepertimana nilai-nilai manusia itu wujud secara semula jadi.

Kebanyakan humanis mempunyai kesepakatan berkaitan dengan idea-idea di bawah:

1. Makhluk ghaib adalah tidak wujud.
2. Alam semesta yang bersifat material adalah satu-satunya realiti yang wujud.
3. Sains menyediakan satu-satunya sumber yang boleh dipercayai berkenaan pengetahuan mengenai alam semesta ini.
4. Kehidupan ini adalah satu-satunya sahaja yang ada- tidak ada kehidupan selepas mati, mahupun kehidupan melalui penjelmaan semula.
5. Manusia berkemampuan untuk hidup beretika dan menjalani kehidupan bermakna tanpa kepercayaan terhadap agama.
6. Manusia boleh menetapkan kod moral mereka dari pembelajaran sejarah, pengalaman peribadi, dan pemikiran.
7. Manusia mampu menetapkan keputusan sesuatu etika berdasarkan sebab, empati (naluri memahami perasaan insan yang lain), dan nilai keprihatinan terhadap manusia tanpa kebergantungannya kepada sentimen keagamaan.

Setiap manusia haruslah menunjukkan rasa hormat kepada sesama manusia yang lain, tanpa mengira kelas, bangsa ataupun kepercayaan (Perlu diingat wujudnya perbezaan di antara hormat kepada individu dan hormat kepada ideologi). Nilai moraliti dan kemanusiaan sepatutnya memberikan kita kebebasan, keadilan, toleransi dan kebahagiaan, iaitu melalui kebaikan secara ikhlas atas nilai diri sendiri tanpa mengharapkan ganjaran syurga mahupun pahala yang hanyalah ciptaan imaginasi manusia suatu ketika dahulu.


2 ulasan:

  1. Saya adalah penyokong humanis :)

    Jika ada yang mengatakan manusia tidak boleh menjadi baik tanpa adanya 'manual' agama, maka orang itu sememangnya telah buta perasaan kemanusiaan.

    Adakah jika buku manual agama itu tiada, manusia akan jadi gila moralitinya? ibu akan membunuh anak? masyarakat saling berperang? manusia jadi perogol dan perompak?

    fikir2-fikirkan :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Agreed :)

      Sesuatu kebaikan/kejahatan itu bukanlah dilihat melalui pelbagai macam jenis 'manual' agama yang bilangannya banyak lagi mengelirukan, tetapi ianya adalah datang dari nilai-nilai kemanusiaan sendiri. That's simple :)

      Padam